Friday, April 24, 2009

Kelas Memandu untuk OKU oleh Damai

Friday, April 24, 2009 |

PERKHIDMATAN DAMAI


Untuk menjayakan cita-cita mereka bagi melahirkan warga OKU yang berdikari dan berani menghadapi cabaran kehidupan, persatuan yang beroperasi dari sebuah rumah di Petaling Jaya telah menawarkan pelbagai program terutama dalam meningkatkan mobiliti OKU.

Murugeswaran menyatakan bahawa persatuan mengambil berat perkara berhubung mobiliti kepada OKU kerana ia merupakan keperluan yang serius dalam mewujudkan kehidupan yang lebih bermakna.

Berikutan kurangnya mobiliti, ramai di kalangan OKU tidak yakin untuk bekerja dan sering berkurung dalam rumah. Malahan jika mereka ingin pergi ke mana-mana, mereka sering bergantung bantuan orang lain.

Itulah sebabnya Damai memperkenalkan kelas memandu menggunakan kenderaan yang telah diubahsuai untuk memenuhi keperluan OKU.

“Memandangkan harga barangan semakin meningkat secara mendadak dan kerajaan menyarankan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam, bagaimana kami hendak menggunakannya sedangkan ianya tidak mesra dengan keadaan kami.

“Sekiranya hendak naik teksi, dikenakan bayaran tambahan untuk menyimpan kerusi roda atau ada yang langsung tidak layan kami, kami juga tidak mampu untuk menggunakan perkhidmatan bas atau LRT kerana tidak bersifat ‘mesra OKU, kata Murugeswaran.

Katanya, mereka juga menawarkan perkhidmatan membaiki kerusi roda kepada ahli persatuan, orang awam dan hospital dengan mengenakan bayaran mengikut kerosakan sahaja.

Setakat ini, Damai telah menyumbangkan lebih 250 kerusi roda secara percuma kepada OKU termasuk ahli yang tidak mampu membelinya.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan mencari pekerjaan kepada OKU melalui syarikat korporat. Di mana syarikat korporat akan menghubungi persatuan kami jika terdapat jawatan kosong dan kami akan menghantar ahli yang berdaftar berpandukan kesesuaian mereka,” katanya lagi.

Selain itu, Damai juga mengadakan kelas komputer secara percuma sebanyak dua kali seminggu agar ahli mendapat pendedahan asas komputer dan memudahkan mereka berurusan dalam alam pekerjaan.

Persatuan Damai juga telah melahirkan tiga atlet kebangsaan, Tanggaraju dan Valli bagi kategori ‘Wheel Chair Tennis’ dalam sukan Fespic di mana Tanggaraju merupakan penyumbang pingat gangsa kepada negara serta S. Krishnan bekas atlet angkat berat dan kini menjadi atlet olahraga bagi sukan Paralimpik.



PENGALAMAN OKU



Sementara itu, M. Manoharan yang juga naib Presiden dan pengasas bersama persatuan Damai adalah bekas kakitangan awam di Jabatan Bekalan Air, mengalami kecacatan kaki akibat terjatuh ketika membaiki paip di siling.

“Saya telah bersama persatuan ini sejak hari pertama ia ditubuhkan dan di sinilah saya melatih diri saya untuk hidup seperti dulu di samping memberi kesedaran kepada golongan senasib saya agar tidak patah semangat disebabkan kecacatan yang dihadapi sebaliknya bersifat terbuka dan saling membantu,” kata Manoharan.

Atlet olahraga yang juga pembaiki kerusi roda persatuan itu, S. Krishnan pula berkata beliau mendapat semangat untuk melibatkan diri dalam kesukanan dan meningkatkan tahap kemahirannya dalam bidang membaik pulih kerusi roda kerana menyertai persatuan ini.

“Saya melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan mengasah bakat dalam bidang pembaik pulih kerusi roda kerana saya bersikap terbuka dan ingin hidup secara berdikari,” katanya.



Manakala K. Loganathan, 27, pula menghadapi kecacatan setelah menjalani pembedahan kaki ketika berusia 5 tahun. Beliau menyertai persatuan ini sejak enam tahun lepas dan menjadi kerani persatuan.

“Sebelum menyertai persatuan ini saya langsung tidak keluar dari rumah, naik teksi pun tak tahu langsung. Tetapi sekarang saya sudah belajar bagaimana hendak hidup berdikari dan kini saya tidak bergantung atau menyusahkan sesiapa,” kata Loganathan.

Manakala Abdul Razak Mohd Kassim, 44, yang juga pensyarah sambilan telah menyertai persatuan ini beberapa bulan yang lepas.

Kini beliau mengajar memandu di Damai menggunakan keretanya dan dalam proses menyiapkan buku panduan bagi meningkatkan perkhidmatan persatuan itu.

“Kini saya faham, dengan adanya sifat berdikari dan keyakinan diri, kecacatan tidak boleh menghalang seseorang insan untuk berjaya. Saya mampu memiliki dan memandu kereta kerana saya yakin dengan diri saya,” kata seorang lagi OKU, Siti Fatimah Badrun, 25 tahun.

Persatuan Damai dianggotai oleh lebih 120 ahli berdaftar terdiri daripada pelbagai kaum, yang aktif membantu serta menjalankan aktiviti untuk OKU yang lain.

Persatuan ini berharap kerajaan, syarikat korporat serta orang ramai akan terus memberi sokongan demi kebaikan setiap insan yang digelar OKU. Damai boleh dihubungi di 03-77823603 atau info@damai.org.my.

-Bernama





Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog