Showing posts with label Berita OKU. Show all posts
Showing posts with label Berita OKU. Show all posts

Thursday, July 1, 2010

Curahan bakat folk art Fariza 0 comments

Thursday, July 1, 2010 |

MINAT mendalam mengatasi segala kepayahan untuk menyiapkan satu karya.


KEKURANGAN pada dirinya, tidak pernah menyekat minat Fariza Abu Hassan untuk berjaya dalam bidang yang diminati. Biarpun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), dia juga tidak pernah kalah dalam menonjolkan potensi yang ada pada dirinya.

Anak keempat daripada adik beradik itu menghidap penyakit mucopolysaccharidosis yang membantutkan tumbesaran fizikalnya sejak berusia lapan tahun. Dia yang gemar dipanggil Pija itu bertubuh kecil kerana tulang dan struktur kulitnya seperti kanak-kanak.

Gadis berusia 25 tahun itu tidak suka bercerita panjang mengenai kepayahan yang ditempuh kerana penyakit itu. Dia lebih tertumpu kepada hobi yang dipupuk sejak empat tahun lalu iaitu membuat folk art.

Minatnya itu bercambah selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Convent, Klang. Bagi mengisi masa yang terluang, Hafizah meminta ibunya, Halbiah Mustafa mendapatkan guru yang boleh mengajarnya lukisan ala Inggeris di atas barangan.

‘‘Folk art ini sangat unik jika diamati secara terperinci,’’ katanya.

Peluang berguru dengan wanita bernama Aniza Khir Omar yang terkenal dengan kepakaran hasil kerja tangan di rumahnya di Bukit Rimau, Klang menjadikan Fariza lebih kreatif.

Pelbagai teknik melukis dan mewarna dipelajarinya daripada guru tersebut.

Bercerita tentang kepayahan sepanjang menuntut ilmu kemahiran itu, Fariza berkata, dia tidak pernah bosan kerana apa yang dilakukannya itu hadir atas dasar minat. Sebab itu, gadis penuh ceria itu sanggup duduk sehingga lima jam setiap hari semata-mata untuk menghasilkan karya yang terbaik.

Untuk mengaplikasikan kemahirannya itu, beberapa barangan di rumahnya di Taman Alam Shah, Klang seperti tong sampah, kotak, bangku, bingkai gambar, tempat meletak roti, baldi dan pasu dilukis dengan corak bunga ala Inggeris itu.

Kemahirannya itu ternyata mengkagumkan ahli keluarga Fariza termasuk bapa, Abu Hassan Md. Isa yang tidak menyangka bakat terpendam anaknya itu.

Menurut Fariza, dia gemar melukis di atas kanvas dan kayu kerana lebih mudah berbanding kaca serta kayu yang melibatkan bahan campuran. Memang diakui, sentuhan Fariza sangat halus terutama melibatkan rekaan bunga.

‘‘Saya tidak ada rahsia khusus untuk mencantikkan setiap barangan. Semuanya berkat latihan dan kesungguhan sehingga objek yang saya mahukan itu benar-benar menjadi. Tak kisah kalau muka saya comot dengan cat asalkan lukisan saya cantik,’’ ujarnya.

Curahan kreativiti itu semuanya dilakukan di sudut sebelah dapurnya. Terdapat meja dan kerusi yang sesuai dengan ketinggian Fariza. Di situlah dia menghabiskan masa hampir separuh hari melukis dan mewarna kotak-kotak untuk dijadikan hiasan.

Sehingga hari ini, Fariza telah menghasilkan lebih kurang 100 hasil tangan folk art pelbagai rupa. Ada yang masih dalam simpanan dan ada yang dijual kepada kawan-kawan yang berminat dengan koleksi tersebut.-Utusan


read more

Wednesday, June 9, 2010

Kursus ternakan Untuk OKU 1 comments

Wednesday, June 9, 2010 |
KUALA TERENGGANU 7 Jun – Mereka tidak boleh melihat, namun ia bukan alasan untuk tidak meneruskan kehidupan.

Golongan cacat penglihatan juga mahu hidup seperti insan biasa dengan kemampuan untuk menyara kehidupan mereka sendiri dan keluarga.

Berdasarkan semangat itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan kursus ternakan ikan air tawar untuk Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis) Terengganu.

Kursus yang buat pertama kali diadakan bakal memberi manfaat serta menjadi peluang untuk menambah pendapatan warga orang kurang upaya (OKU) pada masa depan.

Sektor pertanian dan perikanan dipilih kerana ia merupakan industri yang sedang berkembang dan antara penyumbang besar kepada pendapatan negara.

Pengarah Institut Akuakultur Tropika, UMT, Prof. Dr. Faizah Shaharom berkata, kursus itu diadakan untuk memberi kemahiran melibatkan diri dalam ternakan ikan air tawar terutamanya ikan keli.

”Program ini akan menggalakkan mereka bekerja sendiri dan mencetuskan minat untuk menceburi sektor akuakultur sebagai satu pekerjaan menjana pendapatan kelak,” katanya.

Beliau berkata, kursus itu memberi kemahiran ternakan ikan air tawar termasuk belajar menguruskan kesihatan ikan, makanan ikan dan pengurusan kualiti air ternakan tersebut.

”Kemudian mereka juga akan dibantu dengan pendedahan cara pemasaran efektif.

”Kita juga akan memantau mengenai bagaimana mereka menguruskan ternakan selepas kursus ini,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan memantau kira-kira 50 peratus proses penternakan ikan keli yang akan dilakukan oleh peserta nanti termasuk dari segi kesihatan ikan dan pengurusan ternakan.

”Kita akan membantu dalam mengatasi penyakit ikan jika berlaku jangkitan ke atas ternakan mereka,” jelasnya.

Seramai 30 anggota Pertis dipilih termasuk 10 ahli keluarga terdekat mereka yang normal untuk menyertai kursus berkenaan.

Antara yang dipelajari dalam kursus itu, katanya, adalah cara melurut ikan, menjaga air dan suhu air tangki ternakan selain pembenihan ikan.

”Dalam kursus ini, kita akan membuang sengat ikan keli dahulu kerana para peserta tidak dapat melihat.

”Kita juga akan mengajar mereka bagaimana dan bila hendak memberi makan ikan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertis, Mohamed Ismail, 56 berkata, pihaknya mengambil inisiatif dan bertemu dengan UMT dalam membantu golongan sepertinya menceburi bidang penternakan dalam menjana pendapatan.

”Golongan OKU sebelum ini amat terhad dalam mencari pekerjaan dan kami sememangnya memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, buat peringkat awal, beliau bersama peserta lain merancang untuk melakukan ternakan ikan keli itu di sekitar rumah mereka.

”Mula-mula kami ingin melakukan ternakan ikan di sekeliling rumah. Dengan ini, ahli keluarga lain juga akan dapat membantu dalam menjaga dan menguruskannya.

”Mungkin dalam perancangan masa panjang, satu pusat akan dibuka dalam melakukan ternakan secara berpusat,” tambahnya.

Beliau menambah, kebanyakan peserta yang menghadiri kursus berkenaan tinggal di kawasan perumahan OKU, Taman Rahmat, Pulau Kerengga di Marang.

”Selain itu, ada juga yang tinggal di Seberang Takir dan Kampung Telaga Batin di Kuala Terengganu.

”Kesemuanya berumur 40 tahun ke atas dan mereka berminat untuk mengusahakan ternakan ini,” katanya.- Utusan Malaysia

read more

Monday, May 31, 2010

OKU tiada keistimewaan guna wad kelas satu : Apa Cerita ni? 0 comments

Monday, May 31, 2010 |


TULISAN saya mengenai orang kurang upaya (OKU) minggu lalu mendapat maklum balas daripada golongan senasib. Semua menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap keperluan, kemudahan dan perkhidmatan disediakan untuk OKU.

Masalah yang diceritakan memang kurang enak dibaca atau didengar, seolah-olah golongan ini dipinggirkan dalam menikmati kehidupan sebagai manusia biasa. Bagi mereka, masalah yang diutarakan bukan perkara baru, ia bagaikan sudah menjadi darah daging OKU di Malaysia.
Seperti yang disebutkan, masalah saya mungkin tidak seteruk OKU lain. Begitu pun dalam tempoh empat tahun menjadi OKU, saya dapat berasakan kesulitan dialami golongan ini.
Dalam beberapa e-mel diterima, saya tertarik dengan kiriman dua pembaca yang mengungkapkan kemudahan dan keistimewaan OKU yang diberikan kerajaan hanya untuk orang tua, kanak-kanak, miskin dan berpendidikan rendah. Menceritakan pengalamannya, pembaca ini pernah memohon Elaun Pekerja Cacat, tetapi ditolak kerana gajinya dikatakan tinggi.

Seorang lagi pembaca, kurang puas hati kerana terpaksa membayar rawatan di hospital kerajaan kerana tinggal di wad kelas satu. Katanya, beliau faham perlu membayar RM70 sehari untuk tinggal di wad kelas pertama. Ia tidak menjadi masalah dan bayaran itu ditanggungnya sendiri.

Namun, ketika membuat pembayaran, beliau dikenakan bayaran rawatan selain bilik. Apabila ditanya, petugas kaunter memberitahu perlu membayar perkhidmatan rawatan lain kerana tinggal di wad kelas satu.

Apa yang dipertikaikan pembaca ini dia memang layak menerima rawatan percuma kerana memiliki kad OKU. Apa yang lebih menghairankannya, beliau tidak perlu membayar sesen pun ketika menerima rawatan di hospital kerajaan pada masa lain. Malangnya, ketika tinggal di wad kelas satu, keistimewaan dan kelayakan itu hilang. Soalannya, adakah OKU tidak layak tinggal di wad kelas satu walaupun mampu? Katanya, menjadi haknya untuk mendapat rawatan percuma sebagai OKU tidak kira di wad kelas mana dia tinggal di hospital kerajaan.
Kita masih ingat dengan berita rasa tidak puas hati sekumpulan OKU tidak lama dulu apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikatakan menarik semula bantuan kepada mereka hanya kerana memiliki televisyen dan Astro. Persoalan mereka juga sama, adakah OKU tidak boleh hidup seperti orang upaya lain dengan menonton televisyen atau memiliki Astro.

Adakah OKU mesti hidup susah atau miskin untuk mendapat bantuan atau menerima keistimewaan yang disediakan kerajaan? Dakwaan ini mungkin tidak benar, tetapi seorang lagi pembaca menyarankan saya melihat senarai OKU yang menerima bantuan kerajaan untuk mendapat jawapannya.

Beliau pasti, kebanyakan mereka adalah orang miskin, tua, kanak-kanak dan berpendidikan rendah. Pada saya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku seperti yang termaktub dalam Akta OKU yang diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008 serta dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008.

Akta ini memberikan pengiktirafan hak OKU dan menukar konsep OKU daripada konsep kebajikan kepada konsep berasaskan hak. Akta ini membolehkan OKU mempunyai hak penyamaan peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat lain. Akta ini memperuntukkan perihal pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pemban-gunan dan kesejahteraan OKU.

Tidak sepatutnya timbul masalah seperti itu kerana OKU perlu diberikan hak yang layak diterima sebagai OKU. Begitu pun, kita tidak boleh menafikan bahawa kerajaan, khususnya melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat banyak berusaha menjadikan hidup OKU bertambah baik dari semasa ke semasa.

Pelbagai usaha program dilaksanakan untuk kesejahteraan OKU di negara ini. Dalam bajet setiap tahun, kerajaan tidak pernah melupakan golongan ini. Ada saja galakan, imbuhan dan elaun disediakan untuk kita.

Saya juga berpandangan, usaha kerajaan, terutama dalam menyediakan persekitaran mesra OKU dapat dilaksanakan tanpa kesedaran orang ramai, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan dan garis panduan piawai dalam pembinaan infrastruktur untuk golongan ini. Kurangnya kesedaran awam menyebabkan infrastruktur yang dibina untuk OKU disalah gunakan orang ramai.

Undang-undang yang baik pula tanpa penguatkuasaan sewajarnya tidak dapat mewujudkan persekitaran mesra OKU. Kurangnya kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan menjadikan hampir mustahil untuk mewujudkan persekitaran mesra OKU kerana pihak berkuasa tempatan mempunyai bidang kuasa sendiri, hak untuk membuat undang-undang dan merancang bajet mereka.

Kini tidak ada dasar selaras dan jelas mengenai piawaian yang diperlukan dalam pembinaan infrastruktur yang mesra OKU. Hal ini menyukarkan pemilik bangunan menyediakan kemudahan sesuai bagi golongan itu. Contohnya, Jabatan Kerja Raya mempunyai spesifikasi sendiri bagi kaki lima dan kawasan pejalan kaki yang berbeza daripada piawaian Malaysia.

Berita Harian

read more

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog