Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Mohamad Abdul Ghani berkata, ini satu kejutan yang pasti akan membawa kegembiraan kepada bekas perajurit tersebut.
Jelasnya, hadiah tersebut menunjukkan kerajaan hari ini prihatin terhadap para pejuang bangsa yang pernah menjadi benteng terakhir negara bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan tanah air.
"PBTM sememangnya mengharapkan bantuan kerajaan bagi membantu meringankan beban bekas perajurit ini untuk meneruskan kehidupan sebagai orang awam selepas bersara.
"Namun, kita tidak sangka yang ganjaran tersebut meningkat sehingga 500 peratus berbanding yang diperoleh penerima sebelum ini. Kita sangat menghargai jasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas keprihatinan beliau," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Najib hari ini mengumumkan kenaikan kadar Elaun Kenangan sebanyak 500 peratus kepada anggota pasukan keselamatan yang dikurniakan pingat kebesaran negara berkuat kuasa 1 Julai ini.
Menurut Mohamad, selain 'hadiah' tersebut, PBTM juga berharap, kerajaan dapat meningkatkan kadar elaun bekas anggota keselamatan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tercedera semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, kini terdapat kira-kira 1,600 bekas anggota ATM OKU yang menerima kadar elaun agak rendah iaitu kira-kira RM300 sehingga RM400 sebulan bergantung kepada kecacatan anggota badan yang dialami.
"Saya berharap pihak kerajaan tidak terlepas pandang tentang keperitan dan kesengsaraan yang dialami bekas anggota ATM OKU untuk meneruskan kehidupan harian dengan pendapatan sedemikian.
"Mereka (bekas anggota OKU) ini juga pernah berjuang bermati-matian, malah telah mengalami kecederaan semasa mempertahankan negara," katanya.
-Utusan
0 comments:
Post a Comment