Thursday, November 5, 2009

Kekuatan utama bagi seorang orang kurang upaya (OKU) ialah Kesabaran | Nizar Prihatin

Thursday, November 5, 2009 |
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


Chee Wah bersama Mendy Liew menjalankan tugas mereka sebagai telefonis.


BAYANGKAN anda berada di tempat yang gelap. Kehidupan anda sebelum ini diterangi cahaya tiba-tiba gelap gelita. Apa yang perlu anda lakukan? Berputus asa atau mengharapkan bantuan orang lain?

"Sabar dan berusaha adalah kunci segala-galanya," kata Thoo Chee Wah, 33 yang mungkin boleh dijadikan kata-kata semangat.

Sepuluh tahun bekerja tanpa penglihatan, sesuatu pengalaman berharga buat Chee Wah.

Baginya cacat penglihatan bukan penghalang.

Seperti sudah biasa dengan keadaan fizikalnya, Chee Wah sabar menghadapi ujian hidupnya.

"Kekuatan utama bagi seorang orang kurang upaya (OKU) ialah kesabaran. Saya sendiri tidak boleh lari daripada keadaan ini. Yang penting, saya perlu bersabar dan jalani hidup seperti orang lain," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Seawal 8.30 pagi, Chee Wah sudah bergerak menuju ke pejabat. Mungkin seperti orang lain, dia juga terpaksa bergegas mengejar kenderaan awam. Bezanya, setiap pagi dia menggunakan tongkat menuju ke transit aliran ringan (LRT), KL Sentral.

Bagi mereka yang sakit, ubat ialah penawar. Tetapi baginya, keberanian dan tongkat adalah penawar.

Selepas pertukaran LRT berikutnya, dia mengejar bas untuk ke tempat kerjanya di Hospital Pantai Indah (HPI), Ampang, Selangor.

Kepayahan Chee Wah ini mendapat simpati daripada Pengurus Perkhidmatan HPI, Mendy Liew yang masih berusaha mencari bantuan untuk membolehkan Chee Wah ke pejabat dengan mudah. Mendy yang boleh dihubungi di talian 03-42892862 mengalu-alukan sebarang idea daripada orang ramai.

Bersemangat

Di sebalik kekurangan yang dimiliki, pemuda ini ialah seorang yang berfikiran matang, berbakat dan bersemangat tinggi.

Anak jati Negeri Sembilan ini menggunakan mata untuk mencari rezeki.

Mengambil keputusan untuk hidup berdikari di Kuala Lumpur, Chee Wah yakin boleh berjaya.

Namun dalam persekitaran kehidupannya, dia tidak boleh lari daripada menjadi mangsa kepada mereka yang tidak berhati perut mengaut 'keuntungan' hasil kepintarannya.

Peristiwa pahit apabila hampir ditipu orang yang tidak dikenali menjadi pengalaman pahit dalam hidupnya.

Namun, semangat dirinya untuk meneruskan kehidupan tetap membara dalam jiwa.

Membuktikan

Chee Wah berjaya membuktikan golongan OKU mampu membawa diri walaupun dalam keadaan apa sekali pun termasuk penat dan sakit.

Berkongsi pengalaman kerjayanya, Chee Wah pernah dimarahi pelanggan.Itu hanya sisa kecil cabarannya sebagai OKU. Baginya, cabaran besar sebagai OKU ialah penerimaan masyarakat.

"Misalnya, ketika berada di perhentian bas agak sukar kena meminta tolong daripada orang lain. Kadang-kadang saya minta bantuan tetapi orang fikir saya minta sedekah. Susah juga hidup seperti saya ini," ujarnya sayu.

Bukan itu sahaja, kesedaran masyarakat terhadap OKU juga kurang mesra seperti kemudahan kenderaan, tempat letak kereta dan sebagainya," katanya yang gembira bekerja di sebuah firma yang besar.

Chee Wah juga aktif dengan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur untuk belajar menyesuaikan diri sebagai OKU.

"Persatuan ini membantu kami mencari peluang pekerjaan. Saya sendiri mendapat bantuan mereka. Setakat ini, persatuan serta staf hospital banyak membantu saya," katanya.

Sementara itu, mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat kira-kira 13,000 orang cacat penglihatan di negara ini, 15,000 cacat pendengaran, 29,000 cacat anggota dan 28,000 cacat akal. Adalah dianggarkan jumlah sebenar OKU di negara ini melebihi 220,000 orang iaitu berdasarkan kepada norma anggaran antarabangsa iaitu sekurang-kurangnya satu peratus daripada penduduk dunia terdiri dari OKU.

Tinjauan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 1996, kira-kira 65,000 orang buta, dan 500,000 orang mengalami masalah gangguan penglihatan.

Daripada mereka yang buta, dianggarkan 5,000 terdiri daripada kanak- kanak, manakala kanak-kanak yang menghadapi masalah gangguan penglihatan ialah 50,000.

Daripada jumlah keseluruhan ini, hanya 14,000 orang yang mendaftar dengan MAB.

Kira-kira 180 juta orang di seluruh dunia cacat penglihatan. Daripada jumlah ini, 40 hingga 50 juta orang adalah buta.

Dianggarkan, 90 peratus mereka yang hilang penglihatan ini tinggal di negara-negara membangun.

Berita baiknya, 80 peratus kebutaan di dunia ini boleh dielakkan, dicegah atau dirawat dengan pelbagai kaedah.

Apa yang menakutkan, statistik WHO menganggarkan, pada tahun 2020, bilangan mereka yang buta di dunia bertambah dua kali ganda sekiranya tiada usaha untuk menghentikan trend ini.
-Utusan


Related Posts



1 comments:

Maiyah said...

mmg hnya dgn sabar dan kuat yg dpt meneruskan kehidupan

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog