Thursday, December 3, 2009

Orang Kelainan Upaya Penuh Cabaran : Selamat Hari OKU Sedunia !

Thursday, December 3, 2009 |


Oleh Zulkiple Ibrahim

Berikut ialah bahagian pertama daripada rencana tiga siri sempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa pada 3 Dis

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Banyak telah ditulis tentang Orang Kurang Upaya (OKU) sama ada dari segi hak, kebajikan dan kemudahan yang disediakan untuk mereka serta tentang masalah yang dihadapi.

Bagi mereka yang kurang upaya, kecacatan itu wujud sejak dari lahir atau terjadi disebabkan kemalangan, pembedahan serta punca dan sebab yang lain.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat enam kategori OKU iaitu penglihatan, pendengaran, fizikal, cerebral palsy, masalah pembelajaran (perkembangan perlahan, Sindrom Down, autism, hiperaktif, cacat mental, dan masalah spesifik pembelajaran seperti disleksia, disgrafia, diskalkulia) dan kategori tidak upaya yang lain.

Berikut ialah kisah bagaimana seorang yang dilahirkan normal menjadi kurang upaya setelah menjalani satu pembedahan di mana kaki kanan beliau di potong kerana komplikasi diabetis dan bagaimana beliau melalui satu proses pemulihan yang dijalankan bagi OKU.

DARI NORMAL KEPADA KURANG UPAYA

Hari sudah petang pada 13 Nov 2007 bila penulis ini ditolak keluar dari dewan pembedahan di sebuah pusat perubatan di sini.

Masih lagi khayal dengan kesan anestesia (bius), beliau sempat menyapa isteri dan anak-anak yang menunggu di luar dewan bedah sebelum kembali 'lena'.

Pada esoknya, sakit yang amat sangat dari bahagian kaki kanan membangkitkan beliau dari tidur. Beliau memandang ke arah punca sakit itu dan apa yang beliau dapat lihat hanyalah apa yang tinggal dari kaki beliau.

Barulah beliau sedar tentang hakikat yang sebenar, bahawa kaki kanannya telah tiada lagi setelah dipotong dalam satu pembedahan pada hari sebelumnya.

Doktor yang datang menemuinya kemudian memberitahu penulis bahawa beliau kini menjadi orang kurang upaya.

SATU PERJALANAN YANG JAUH DALAM PEMULIHAN

Beberapa hari kemudian, ketika penulis sedang mengelamun sambil mengenang nasib dirinya, seorang 'berbaju putih' datang kepadanya.

"Kami akan membantu (awak) berjalan semula tetapi awak mestilah kuatkan semangat dan kembalikan keyakinan kerana perjalanan ini panjang," kata pelawat itu, seorang jurupulih anggota yang dikenali sebagai Othman.

Penulis yang dalam keadaan putus asa, telah menjawab: "Macam mana nak jalan, kaki dah tak ada. Kan saya sekarang orang kurang upaya?".

(Bagi penulis ketika itu, rasanya seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana anak beliau berumur tiga bulan, seorang bayi Sindrom Down, terpaksa menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) beberapa hari selepas kaki beliau dipotong).

Tapi nasibnya tidak seburuk yang beliau sangkakan. Sekumpulan doktor pemulihan, jurupulih anggota dan jurupulih kerja, membantu beliau dalam menjalani satu program pemulihan untuk membolehkan beliau berjalan semula.

Penulis dihantar menjalani latihan di 'sekolah untuk berjalan' di pusat perubatan itu di mana beliau dikehendaki melakukan senaman fisioterapi seperti melompat dengan menggunakan tongkat empat kaki dan palang selari.

Jurupulih kerja pula mengajar beliau bagaimana cara menggunakan kerusi roda

"Awak mesti kuat (semangat) dan InsyaAllah semuanya akan baik," itulah kata-kata seorang pegawai perubatan rehabilitasi yang namanya hanya penulis ingat sebagai Dr Annuar.

Kata-kata itu sentiasa berlegar dalam pemikiran penulis kerana ada ketikanya beliau terasa amat sengsara dan kecewa dengan nasibnya.

"Kalau anak awak kuat dan boleh melaluinya, kenapa tidak pula awak?" kata seorang lagi doktor yang merawat penulis, merujuk tentang keadaan anak penulis yang berjaya menjalani pembedahan jantung selama lapan jam.

Dengan itu bermulalah perjalanan pemulihan bagi penulis. Pada Mac 2008, hampir empat bulan selepas beliau kehilangan kaki kanan, penulis mula berjalan dengan bantuan kaki palsu walaupun dengan agak perlahan serta masih dalam kesakitan.

Kini, beliau telah mampu berjalan kembali. Satu perkara yang beliau anggap sebagai mustahil setelah berlakunya amputasi kaki.

(Anak penulis kini berumur 26 bulan dan sudah pulih daripada penyakit jantung berlubang. Anak itu sedang menjalani sesi terapi di Yayasan Sindrom Down Malaysia (KDSF) Pusat Nasional di Petaling Jaya.

HARI ORANG KURANG UPAYA ANTARABANGSA

Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa ialah pada 3 Dis setiap tahun dan disambut di seluruh dunia.

Di Malaysia, Akta Orang Kurang Upaya 2007 memberi definisi orang kurang upaya sebagai mereka yang kurang upaya jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau keupayaan sensori yang menghalang mereka berinteraksi sepenuhnya dengan masyarakat.

Akta ini diluluskan Parlimen pada 24 Dis 2007 dan diwartakan pada 24 Jan 2008. Ia berkuatkuasa mulai 7 Julai 2008.

Bagi mereka yang kurang upaya, mereka diperlukan mempunyai Kad OKU untuk mendapat manfaat serta bantuan daripada JKM serta agensi kerajaan dan swasta.

Kad ini boleh didapati dengan mendaftar di Pejabat Daerah JKM masing-masing. Kad OKU yang dikeluarkan JKM membantu orang kurang upaya berurusan dengan pihak berwajib.

Terdapat enam warna kad bagi enam kategori OKU. Biru menandakan kurang upaya penglihatan, ungu (pendengaran), hijau (fizikal), merah (cerebral palsy), kuning (kurang upaya pembelajaran) dan oren (lain-lain).

Objektif sambutan hari antarabangsa bagi orang kurang upaya ialah memberi kesedaran di kalangan orang ramai bahawa orang kurang upaya sebagai anggota masyarakat mempunyai hak dalam masyarakat dan tidak menganggap mereka sebagai kurang kebolehan serta tidak berguna.

Ia juga bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab mereka terhadap orang kurang upaya dan seterusnya menggerakkan komuniti supaya meningkatkan kemudahan untuk kurang upaya serta memperlihatkan kebolehan, keupayaan dan kemahiran golongan kurang upaya supaya mereka diserapkan ke dalam masyarakat.

Hari itu juga bertujuan merapatkan lagi hubungan kerjasama di antara kerajaan dengan pertubuhan sukarela serta korporat dan komuniti dalam usaha mewujudkan pelbagai kemudahan untuk orang kurang upaya dan mendedahkan kepada orang ramai akan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan pertubuhan sukarela bagi Orang Kurang Upaya.

Sumber: BERNAMA


Bukan Sukar Untuk Mendidik Anak Istimewa

Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini ialah bahagian kedua rencana tiga siri sempena Hari Antarabangsa Bagi Orang Kurang Upaya pada 3 Dis

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Orang Kurang Upaya (OKU) atau dinamakan 'golongan istimewa' memerlukan perhatian dan bantuan masyarakat supaya mereka dapat berdikari dan meneruskan kehidupan walaupun dibelenggu dengan pelbagai masalah kerana ketidakupayaan mereka.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM), kerajaan telah mewujudkan

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi membantu anak-anak golongan ini yang dikenali juga sebagai anak istimewa dalam proses pemulihan mereka.

Menurut aktivis sosial Gurmukh Singh, ada di antara OKU ini yang mempunyai kelebihan masing-masing, dan mereka boleh menjalankan aktiviti secara sendiri tanpa bantuan orang lain jika mereka diberi latihan di sekolah khas serta juga PDK.

Seorang ibu kepada anak istimewa, yang mahu dikenali sebagai Juliana berkata membesarkan anak kurang upaya bukanlah susah jika ibu bapa serta penjaga tahu bagaimana cara mendidik dan memberi peluang serta ruang bagi mereka mempamerkan bakat yang ada.

"Saya lihat bagaimana selepas anak saya yang kurang upaya berdaftar dan menjalani program pemulihan di PDK, terdapat banyak perubahan berlaku seperti dia bertambah yakin dan lebih berani mencuba sesuatu," kata Juliana.

MEMBESARKAN ANAK KURANG UPAYA

Bagi Ida, seorang penjawat awam yang mempunyai anak Sindrom Down, mendidik anak kurang upaya bukanlah sangat sukar seperti dijangkakan ramai, cuma ia memerlukan banyak kesabaran.

"Saya menghantar anak ke Pusat Nasional Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KDSF) di Petaling Jaya dan dia telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi pengenalan kognitif serta pergerakan fizikal," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Bagi Ida, banyak cabaran perlu dihadapi bagi menjaga anak seperti ini terutama apabila mereka menghadapi beberapa masalah kesihatan yang kerap memerlukan rawatan hospital.

"Anak saya juga mempunyai jadual rutin pemeriksaan kesihatan di hospital kerana mempunyai masalah respiratori serta perkara lain yang bersangkutan Sindrom Down," kata beliau.

Jurupulih anggota, Jenny Chin berkata mendidik anak istimewa perlulah secara lembut dan jangan terlalu berkasar dengan mereka kerana boleh menyebabkan mereka memberontak dan melakukan perkara yang tidak diingini.

"Jangan berkasar atau buat mereka marah kerana dalam keadaan sebegini mereka boleh bertindak mengikut kemarahan sahaja".

Kata beliau didikan sempurna amat penting bagi anak istimewa dan ibu bapa boleh mendaftarkan mereka di institusi pemulihan agar dapat dibantu oleh pakar yang berpengalaman dalam bidang ini.

KANAK-KANAK ISTIMEWA

Bagi pensyarah Suhiadi Sanii, kehadiran anak istimewa merupakan satu cabaran besar bagi ibu bapa kerana tanggungjawab menjaga anak-anak ini lebih mencabar dan memerlukan lebih perhatian.

"Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu menjalankan apa yang sepatutnya diperlukan anak mereka. Anak-anak ini perlu diberi kasih sayang, didikan akhlak dan pendidikan akademik mengikut kemampuan masing-masing.

"Di Malaysia, kerajaan menyediakan banyak sekolah khas untuk memberi pendidikan bagi mereka yang dalam kategori anak istimewa. Ramai di antara mereka ini mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik sama seperti pelajar yang normal.

"Ada di antara mereka yang berjaya dalam kerjaya profesional masing-masing seperti dalam bidang undang-undang, ekonomi dan juga akademik," kata Suhiadi.

PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK)

Syaratnya anak-anak istimewa ini diberikan program pemulihan khas agar kemampuan mereka dapat dipertingkat.

Terdapat lebih 300 pusat PDK yang boleh menampung lebih 8,000 orang anak istimewa seperti mereka yang mengalami Sindrom Down dan kecacatan otak. PDK merupakan satu program yang disediakan oleh JKM untuk memberi latihan dan pemulihan bagi anak istimewa dalam masyarakat.

Suhiadi berkata membiarkan anak istimewa tanpa mendapat apa-apa usaha pemulihan dan pendidikan yang sewajarnya akan memburukkan lagi keadaan.

"Jika mereka diasuh dan diberi latihan, sudah pasti pergantungan terhadap ibu bapa dapat dikurangkan apabila kemampuan fizikal dan mental mereka bertambah baik".

Sikap ibu bapa tidak mahu menghantar anak istimewa ke sekolah atau institusi pendidikan khas berpunca daripada kurang keyakinan dan juga rasa malu mempunyai anak sedemikian.

"Perasaan tersebut perlu dikikis," kata beliau.

Kerajaan telah mengambil usaha untuk membela nasib OKU. Pembelaan itu bukan setakat memberi bantuan latihan khas dan bantuan alat sokongan, tetapi memberi peluang untuk OKU sama-sama menyumbang terhadap kemajuan negara.

Usaha berterusan kerajaan serta sokongan pihak swasta, pertubuhan kebajikan dan orang ramai memperlihat kesan positif dalam meningkatkan taraf hidup OKU.

Sikap prejudis dan diskriminasi orang ramai terhadap OKU juga semakin berkurangan.

LANGKAH PEMULIHAN

Ibu bapa, penjaga dan guru-guru mesti peka terhadap perkembangan normal kanak-kanak. Jika mereka mendapati berlaku kelembapan dalam perkembangannya, kanak-kanak itu mesti dibawa untuk saringan dan mengenal pasti masalah.

Setelah kurang-upaya atau kecacatan dikenal pasti, penjaga atau ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak istimewa itu berdaftar dengan JKM.

Borang pendaftaran ada disediakan di Pejabat Daerah JKM, klinik kesihatan dan hospital-hospital. Borang itu mesti disahkan oleh doktor bertauliah dan OKU berkenaan akan menerima kad pengenalan khas yang membolehkan mereka mendapat faedah-faedah disebabkan oleh kecacatan mereka.

Mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan pemulihan yang berkaitan dengan kecacatan mereka seperti pemulihan anggota, cara kerja, pertuturan, kaunseling yang juga terdapat di hospital kerajaan dan swasta dan di sesetengah klinik.

Bagi mendapatkan pendidikan formal, kanak-kanak kurang upaya perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendidikan Khas.

-- BERNAMA


Yang Berupaya Salah Guna Kemudahan Si Kurang Upaya

Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini ialah bahagian akhir rencana tiga siri sempena Hari Antarabangsa Orang Kurang Upaya pada 3 Disember

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kesedaran terhadap kemudahan yang disediakan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) masih lagi di tahap kurang memuaskan dalam kalangan masyarakat berdasarkan masih wujud penyalahgunaan terhadap kemudahan ini.

Contoh yang paling ketara ialah penyalahgunaan tempat parkir kenderaan untuk OKU.

Pihak pengurusan hipermarket serta kawasan Rehat dan Rawat (R & R) memang menyediakan petak parkir bagi OKU. Bagi hipermarket, petak-petak ini sepatutnya memudahkan OKU untuk bergerak dari kenderaan yang membawa mereka ke pintu masuk hipermarket sebelum menuju ke bahagian jualan dan bagi kawasan R & R lebuh raya, ia memudahkan mereka yang kurang upaya bergerak menuju ke kedai makan atau tandas.

Walaupun diletakkan tanda serta gambar 'orang di kerusi roda' di petak parkir ini, masih ada kenderaan yang membawa penumpang 'berupaya' memakir kereta di situ.

SIKAP PENTINGKAN DIRI SENDIRI

Insiden pertama.

Di sebuah hipermarket di ibu kota, sebuah kereta yang membawa keluarga dengan begitu bersahaja memasuki petak parkir yang disediakan untuk OKU.

Bila penulis yang kebetulan berada di situ, menegurnya si pemandu kenderaan tadi dengan nada suara yang agak keras berkata: "Sekejap saja, lagi pun petak ini kosong...".

Insiden kedua.

Baru-baru ini penulis, yang merupakan OKU, berhenti di kawasan R & R Ayer Keroh di Lebuhraya Utara-Selatan.

Ketika hendak menggunakan tandas OKU, beliau terpaksa menunggu beberapa minit dan agak terkejut bila orang yang keluar dari tandas itu merupakan orang yang 'upaya'.

Bila penulis cuba menyatakan bahawa tandas itu sepatutnya digunakan oleh OKU, orang itu berkata: "saya punya suka lah!".

"Sukar encik. Masih ramai yang pentingkan diri sendiri. Walaupun tertera dengan nyata kemudahan ini untuk OKU masih ramai yang tidak peduli," kata seorang pekerja di R & R berkenaan tentang penyalahgunaan kemudahan mereka yang kurang upaya.

AKTA ORANG KURANG UPAYA

Di Malaysia, terdapat Akta Orang Kurang Upaya. Tetapi adakah akta ini cukup bagi menjaga hak mereka yang kurang upaya.

"Akta ini memang baik untuk OKU, tetapi ia tidak menyatakan penalti atau hukuman bagi mereka yang menyalah guna kemudahan OKU," kata seorang peguam Nordin Shanmugam Abdullah.

Menurut beliau, selagi tiada peruntukan khas tentang penalti atau hukuman buat mereka yang menyalahguna kemudahan OKU, selagi itulah orang awam memandang ringan akta berkenaan.

"Bagi mereka (orang ramai), menggunakan peralatan atau kemudahan yang dikhaskan untuk OKU bukan satu kesalahan. Tambahan pula akta itu tidak menyatakan sama ada mereka yang melakukan perkara ini perlu dihukum atau sebagainya.

"Cuma, kelakuan menyalah guna kemudahan OKU salah dari segi moral, dan tidak lebih daripada itu kerana tiada penguatkuasaaan dan tiada denda," katanya.

MASYARAKAT PRIHATIN DAN BERDISIPLIN

Menurut aktivis sosial Gurmukh Singh, Akta OKU tiada taring kerana tiada unit penguatkuasaan.

"Kalau buang sampah kena denda, hisap rokok di tempat awam kena denda, jadi salah guna kemudahan OKU pun patut kena denda juga.

"Selagi tiada unit pengawasan tentang penyalahgunaan yang dilakukan,selagi itulah masalah ini akan berterusan," kata beliau.

Tentang kemudahan OKU di bangunan dan premis, menurut Gurmukh Singh, masih banyak lagi bangunan dan premis seperti kompleks membeli-belah dan bank yang gagal menyediakan kemudahan bagi OKU.

"Seolah-olah mereka tidak prihatin terhadap keperluan pengguna yang kurang upaya yang ingin berurusan di premis-premis itu. Tiada peruntukan dalam Akta OKU yang mewajibkan pihak pengurusan bangunan menyediakan kemudahan seperti lif atau laluan kerusi roda bagi mereka yang kurang upaya.

"Jadi mereka tidak melakukan kesalahan jika tidak menyediakan kemudahan seperti ini, kata beliau.

Gurmukh Singh menegaskan bahawa kerajaan telah berusaha memberi kemudahan terhadap OKU, jadi masyarakat hendaklah juga membantu usaha ini.

"Bukannya susah untuk menunjukkan sikap prihatin terhadap golongan yang kurang upaya," katanya.

Sumber: BERNAMA


Related Posts



2 comments:

Maiyah said...

slmt hari OKU

Suara OKU said...

selamat hari OKU Kak!

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog