Thursday, December 3, 2009

Selamat Hari Orang Kelainan Upaya Sedunia !

Thursday, December 3, 2009 |

Assalamualaikum dan salam mesra

Selamat Hari OKU diucapkan kepada semua OKU di Malaysia. Semoga terus maju pada masa akan datang.


Tukar pandangan pada OKU

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

TIDAK ramai yang tahu barangkali, golongan orang kurang upaya (OKU) ada hari mereka tersendiri untuk diraikan, sama seperti Hari Kekasih, Hari Bumi, Hari
Pelarian dan sebagainya.

Walaupun Hari OKU ini tidak begitu popular berbanding hari-hari lain yang tertera dalam kalendar antarabangsa, ia tetap memberi signifikan tersendiri. Di
peringkat antarabangsa Hari OKU disambut pada 3 Disember, setiap tahun.

Malaysia, yang mahu seboleh-bolehnya peranan, kejayaan dan sumbangan OKU ini diiktiraf, menyambutnya tanpa gagal sejak dua tahun lepas pada 4 Disember.


Dahulu istilahnya ialah orang cacat. Bunyinya yang kurang manis dan tidak sopan seolah-olah menyisihkan golongan itu menyebabkan ia ditukar kepada OKU.
Selepas nama OKU dipakai, terdapat juga yang mahukan ia terus diubah menjadi lebih ‘mesra’. Antara yang kedengaran ialah biar mereka dikenali dengan nama
‘orang berlainan upaya’ pula.

Seperkara yang perlu diingatkan ialah orang cacat, OKU atau orang berlainan upaya kesemuanya merupakan istilah sahaja.

Biar kita jelas di sini. Namakan apa juga istilah yang lebih manis, sopan dan menyebelahi mereka, tetapi kalau persepsi, cara kita melayan mereka tetap
sama, ia tidak membawa apa-apa makna.

Kalau disorot kepada perkembangan semasa, tentunya belum boleh disimpulkan bahawa kesedaran terhadap OKU ini di kalangan ‘masyarakat penyayang’ Malaysia
wajar ditabik.

Secara jujur juga kalaupun ada segelintir yang mengakui sedar lagi prihatin terhadap OKU ini adalah kerana kumpulan itu memiliki keluarga OKU. Yang selebihnya,
mereka mungkin sedar atau simpati tetapi selepas beberapa ketika ia hilang begitu sahaja apabila tidak diingatkan sebegitu.

Bukan tiada kejayaan yang dicatatkan OKU. Tidak sedikit sumbangan mereka pada negara. Kejayaan negara juga banyak dicatatkan oleh kumpulan ini. Bukan tidak
ada profesional datang daripada golongan OKU.

Nah, ini buktinya mereka perlu mendapat hak sepertimana kita semua yang normal merasainya. Itu pula menjadi penanda aras bahawa tahap kesedaran dan keprihatinan
terhadap OKU ini perlu juga ‘normal’.

Selebihnya, mereka juga manusia, apa bising-bising mahu menyisih, memandang rendah pada mereka?

Apakah perlu satu undang-undang untuk memberi kesedaran terhadap apa juga yang berkaitan dengan OKU?

‘‘Tidak perlu sampai ke situ, kesedaran wajar tercetus kerana telah disemat, dan boleh diterima pula bahawa OKU adalah sebahagian anggota masyarakat. Kerana
mereka ialah sebahagian anggota masyarakat, golongan ini mempunyai hak untuk hidup seperti biasa, normal menyerupai yang lain-lainnya,’’ kata seorang kaunselor
yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kalau kita belum lupa, perihal kesedaran menjadi begitu penting dan dipentingkan sehingga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terpaksa menggesa supaya
kerajaan menggubal satu akta memastikan OKU menikmati kesaksamaan.

Akta itu juga secara tidak langsung melindungi OKU daripada sebarang bentuk penganiayaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Mengikut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semua negara di dunia secara puratanya mempunyai sekurang-kurang satu peratus OKU. Satu peratus
memang kecil tetapi kalau satu peratus daripada 25 juta rakyat Malaysia, secara matematik besar juga jumlahnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bahawa 10 peratus daripada penduduk setiap negara ialah OKU.

Di Malaysia sendiri dianggarkan terdapat seramai 2.6 juta OKU.

Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mencatatkan negara ini mempunyai 197,519 OKU yang berdaftar dengan mereka sehingga akhir
tahun 2006. Ini termasuklah seramai 18,258 cacat penglihatan, 29,522 cacat pendengaran, 66,250 cacat anggota, 887 (cerebral palsy) dan 76,619 menghadapi
masalah pembelajaran. Lain-lain jenis kekurangan upaya yang dicatatkan ialah seramai 5,983.

Apa erti angka-angka itu sebenarnya? Maknanya, lebih banyak OKU, lebih meluas sepatutnya rasa kesedaran kita terhadap mereka. Lebih meluas kesedaran membawa
pula makna wajar lebih banyak kemudahan untuk menyenangkan golongan ini.

Lupakan rasa bangga kita ke atas Kuala Lumpur yang mempunyai menara berkembar yang sebelum ini tertinggi di dunia. Bangga itu secara jujurnya hanya secebis
daripada perasaan positif kalau kita jarang bertanya apakah Kuala Lumpur sudah cukup mengambil peduli perihal manusia dan kemanusiaan.

Kita tidak mahu Hari OKU yang disambut nanti persoalan seperti akses kepada bangunan awam menjadi halangan utama bagi penyertaan mereka dalam masyarakat.

Kita juga tidak mahu lagi bercakap-cakap tentang kurang senang kita terhadap sistem pengangkutan awam sedia ada tidak mesra OKU. Ini menghalang mereka daripada
menjalani aktiviti harian dan kehidupan dalam masyarakat.

Kita mahu semua itu diperbaiki. Selebihnya kita ingin persepsi terhadap mereka berubah. Itulah signifikan Hari OKU yang disambut di peringkat antarabangsa
mahupun nasional.

Apalah yang ada pada Hari OKU jika persepsi masyarakat masih di takuk lama – mengakui simpati dan kasihan pada OKU tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menyokong
mereka.

Hari OKU yang akan disambut nanti, pada kali ini barangkali cukup istimewa. Kita menantikan akta khas bagi OKU ini menjadi realiti.

Itulah komitmen besar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan menjadi hasrat menggunung kita semua juga.

“Akta yang sedia ada ialah berasaskan kebajikan. Sekarang kita bercakap tentang hak mereka. Saya menjangka tahun depan saya dapat bentangkan ke Kabinet,’’
itu kata Shahrizat pada sambutan Hari OKU yang lalu.

Kita mengharapkan, menunggu sebenarnya, ia berubah pada sambutan kali ini.

sumber Utusan Online, 3 Disember 2009


Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog