Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
10/01/2007 | Utusan Malaysia
Baru-baru ini sekumpulan OKU telah berkempen untuk menyatakan hakikat hidup yang mereka alami. Sesungguhnya, kehidupan mereka yang telahpun tercabar akibat kekurangan yang mereka miliki, menjadi lebih sukar bila pengangkutan awam di negara ini tidak mesra OKU. Bukan itu sahaja, malah pengguna-pengguna lain perkhidmatan tersebut yang sempurna anggotanya juga tidak mesra OKU.
Dari segi perangkaannya, dianggarkan bahawa satu peratus penduduk setiap negara adalah terdiri dari OKU. Ini bermakna, di Malaysia, terdapat seramai 260,000 OKU dalam pelbagai kategori yang memerlukan perhatian kita. Kerajaan Malaysia, melalui Dasar Kebajikan Masyarakat Negara menawarkan perkhidmatan rawatan, pemulihan, pendidikan dan latihan kepada golongan ini dengan hasrat untuk menggabungkan mereka dalam masyarakat.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menyatakan iltizam negara terhadap kesejahteraan golongan ini seperti menandatangani Proklamasi Penyertaan Penuh dan Penyamaan Peluang OKU Bagi Dekad Pasifik, mewujudkan Elaun Pekerja Kurang Upaya, menyediakan geran pelancaran perniagaan dan sebagainya. Kini, dengan gagasan manhaj Islam Hadhari, pastinya lebih perhatian akan diberikan terhadap golongan ini dengan wujudnya prinsip pembelaan hak minoriti yang mana OKU adalah sebahagian daripada minoriti tersebut.
Iltizam kerajaan adalah satu perkara, namun perlaksanaan iltizam tersebut adalah satu perkara yang lain. Kegagalan para petugas memahami iltizam kerajaan ini menyebabkan timbulnya rungutan demi rungutan dari pihak sasaran yang mengalami kesulitan dalam mendapatkan segala bentuk bantuan dan kemudahan.
Selain itu, usaha kerajaan ini memerlukan kerjasama dari pihak lain, khususnya pihak swasta. Banyak aduan mengenai bangunan serta perkhidmatan yang tidak mesra OKU menunjukkan bahawa pihak swasta tidak menyokong usaha-usaha kerajaan dalam menyediakan persekitaran yang mesra OKU. Walaupun setakat ini kerajaan belum mewajibkan pihak swasta untuk menyediakan kemudahan-kemudahan, namun, tanggungjawab masyarakat sepatutnya memadai untuk menggerak mereka untuk menyediakan kemudahan-kemudahan yang mesra OKU.
Dalam Surah Abasa', ayat 1 - 11, diceritakan bagaimana Allah SWT telah menegur Rasulullah s.a.w yang telah tidak melayan seorang yang kurang upaya penglihatan yang datang kepada Baginda untuk bertanyakan hal-hal agama. Ini menunjukkan bahawa Islam menuntut kita melayan sesama manusia tanpa pilih kasih. Begitu jugalah dengan OKU lainnya. Mereka wajib dibantu dan dipermudahkan hidupnya. Demikianlah ajaran Islam dalam hal ini. Namun, sejauhmanakah masyarakat Islam menunjukkan keprihatinan mereka kepada golongan ini?
Jika selama ini kita sering memperkatakan tentang persekitaran jasmani yang tidak mesra OKU, bagaimana dengan masjid-masjid dan surau-surau kita? Apakah ianya mesra OKU bagi memudahkan mereka beribadat?
Bagaimana pula dengan dana orang Islam? Sejauhmanakah dana itu digunakan untuk membantu golongan OKU ini? Lazimnya, dana yang terkumpul diagihkan kepada golongan terpinggir dari kalangan anak yatim. Bagaimana dengan golongan OKU? Apakah hanya kerana ia tidak disebutkan secara langsung di dalam al-Quran maka ini bermakna mereka tidak perlu dibantu?
Bagaimana pula dengan usaha memberi kefahaman Islam terhadap golongan ini? Apakah kita memiliki sekumpulan daie yang terlatih khusus untuk menunjuk-ajar golongan ini mengenai fardu ain selaras dengan kekurangan-kekurangan yang mereka miliki? Untuk ilmu-ilmu yang umum pula, sejauhmanakah rancangan-rancangan agama di televisyen menggunakan juru bahasa isyarat agar golongan kurang upaya pendengaran juga dapat memanfaatkan rancangan-rancangan tersebut?
Sejauhmana pula badan-badan Islam menyahut seruan kerajaan agar satu peratus pekerjanya terdiri dari orang kurang upaya?
Suka atau tidak, kita tidak boleh menafikan bahawa negara Barat adalah lebih terkehadapan dalam mewujudkan persekitaran yang mesra OKU. Jika mereka boleh, kita - negara Islam - seribu kali boleh melakukannya kerana agama kita menuntut ianya dilakukan. Sekiranya tuntutan ini difahami dan dipastikan terlaksana, tidak mustahil Malaysia juga boleh mewujudkan persekitaran yang lebih sejahtera untuk golongan OKU ini.
0 comments:
Post a Comment