Oleh FUAD HADINATA YAACOB
SELAYANG: Cacat penglihatan tidak menjadi halangan buat Hasnah Hussin, 55, untuk mengerjakan ibadat umrah bersama 26 jemaah lain bermula 27 April ini.
Malah, ibu kepada empat cahaya mata itu yang cacat penglihatan sejak berusia lima tahun bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
"Syukur, akhirnya saya berpeluang menyahut seruan Ilahi bagi mengerjakan ibadat ini. Sebenarnya, saya berhasrat menunaikan umrah bersama arwah suami 10 tahun lalu, namun dia pergi dulu apabila temui ajal dalam kemalangan jalan raya.
"Begitupun, saya tidak bimbang kerana sepanjang di sana, saya dibantu anak bongsu, adik dan suaminya," katanya ketika ditemui di Masjid al-Ikhlas, Taman Sri Melati, Selayang, sewaktu mengikuti kursus umrah anjuran Irna Yakin Travel & Tours Sdn Bhd, semalam.
Kursus singkat itu dihadiri 33 jemaah umrah yang akan berangkat ke Tanah Suci pada 27 April dan 25 Mei ini. Hadir sama, penceramah agama, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan Pengarah Urusan Irna Yakin Travel & Tours Sdn Bhd, Shahril Baharin.
Melalui pakej umrah 13 hari 11 malam itu, jemaah syarikat berkenaan berpeluang menziarahi tempat bersejarah seperti Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Tanah Perkuburan Baqi, Gua Hira', Padang Arafah, Mina, Muzdalifah dan Jaaranah.
Hasnah yang bekerja sebagai telefonis di sebuah institusi kewangan turut berhasrat mengerjakan haji pada masa depan selepas mengupah orang lain melakukan ibadat sama untuk suaminya beberapa tahun lalu.
Sementara itu, anak bongsu Hasnah, Mohd Shafiq Isa, 18, berkata dia tak terfikir berpeluang mengerjakan umrah pada usia semuda itu.
"Saya seperti tak percaya dapat menunaikan umrah dalam usia ini, malah rakan terkejut apabila mengetahui saya akan ke Tanah Suci. Namun, saya bersyukur emak membantu, termasuk membayar kos ibadat ini," katanya yang juga peserta termuda dalam pakej itu.
Mengulas mengenai jemaahnya yang terbabit dalam kemalangan maut di Madinah, Rabu lalu, Shahril berkata, pihaknya menguruskan penerbangan 17 daripada 22 jemaah yang terselamat untuk dibawa ke Jeddah menaiki kapal terbang 13 April ini.
"Selepas kejadian itu, jemaah fobia dan kami berusaha membawa mereka ke Jeddah dari Madinah menaiki pesawat untuk meneruskan ibadat di Makkah.
"Begitupun, kejadian ini tidak menjejaskan operasi syarikat kerana ia ketentuan Allah, malah ramai berminat mengikuti pakej umrah kami," katanya.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi waktu tempatan pada Rabu lalu, empat jemaah umrah negara ini terbunuh dalam nahas bas di Bir Ali, 40 kilometer ke Madinah.
Kelmarin, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Ali Borhan, 68, Rozita Jamaludin, 43, Sam Mad Saman, 60, dan Abdul Jalil Ahmad, 66, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baqi, Madinah, selepas disolatkan di Masjidil Nabawi.
-Harian Metro
0 comments:
Post a Comment