Thursday, April 9, 2009

Pengangkutan Awam dan OKU : Adakah kita prihatin?

Thursday, April 9, 2009 |
Adakah Pengangkutan Awam untuk OKU di Malaysia dalam tahap yang memuaskan?



Masih terjadi di Malaysia :



Bagaimana pula di Hong Kong ?


Apa yang terjadi sebenarnya?

Masalah OKU dalam Perkhidmatan Kenderaan Awam

Kenderaan awam merupakan nadi kepada pembangunan negara. Sistem dan kemudahan kenderaan awam dapat menjamin kelancaran aktiviti sesebuah negara. Sekiranya kita menoleh ke negara-negara maju seperi Jepun dan Amerika Syarikat, kita akan lihat betapa majunya sistem kenderaan awam mereka. Negara kita akan meraikan hari kemerdekaan genap 50 tahun beberapa hari lagi. Angka 50 tahun akan menjadi kayu ukur kepada tahap pencapaian kita. Dalam mengolak langkah sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020, kita hanya mempunyai 13 tahun lagi. Lihatlah betapa maju kita dalam kemudahan kenderaan awam pada hari ini. Namun, apakah ertinya kemajuan tersebut sekiranya terdapat golongan yang tidak dapat menikmatinya?

Golongan yang saya maksudkan tidak lain tidak bukan ialah golongan orang kurang upaya (OKU). Dalam kaitan antara OKU dengan kemudahan kenderaan awam, sudah pasti kumpulan OKU berkerusi roda merupakan kumpulan yang patut diutamakan. Mereka memerlukan satu mekanisma supaya dapat berhubung dengan dunia luar dan masyarakat umum. Bayangkan sekiranya mereka tidak memandu ataupun tidak mempunyai sanak saudara yang sudi membawa mereka keluar, bolehkah mereka menaiki LRT atau komuter kita yang serba canggih? Bas baru kita yang berhawa dingin dengan kerusi selesa yang sedang gah berlegar di kota? Kereta teksi samada yang biasa mahupun yang mewah? Saya percaya setiap langkah untuk mereka masuk mencuba kemajuan kemudahan kenderaan awam tersebut menjadi satu cabaran; cabaran yang sekiranya salah langkah mungkin akan terjatuh, tercedera dan membahayakan nyawa mereka. Malah mungkin juga mereka tidak dapat menggunakannya langsung disebabkan halangan daaripada penggunaan kerusi roda mereka.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada usaha daripada syarikat yang menyediakan kemudahan kenderaan awam dalam memastikan perkhidmatan mereka mesra OKU. Terdapat kenderaan bas yang melebelkan stiker kerusi roda untuk menunjukkan bas mereka mesra OKU. Hakikatnya ketika artikel ini ditulis, pelaksanaannya belum sempurna, lebel stiker itu hanya sekadar hiasan. Projek tersebut bak kata pepatah ‘rumah sudah siap, tetapi pahat masih berbunyi’. Saya tidak ingin memanjangkan komen di sini, bagi persatuan-persatuan OKU yang terlibat dalam usaha menyempurnakannya sahaja yang faham. Bagaimanapun, usaha dan niat murni syarikat bas tersebut boleh dipuji, hanya perlaksanaannya perlu dikaji. Pada pendapat saya: tanyalah pengguna kerusi roda cara terbaik untuk mereka boleh menggunakan bas tersebut sebelum melaksanakannya.

Walau bagaimanapun, usaha harus dilakukan langkah demi langkah. Kalau kita lihat antara perkhidmatan kenderaan awam di negara kita, masih terlalu banyak usaha yang harus dilakukan. Saya amat mengkagumi Group CEO syarikat AirAsia, iaitu Dato’Tony Fernandes dalam tindakan beliau meningkatkan perkhidmatan penerbangannya baru-baru ini. Selepas mendapat protes daripada persatuan-persatuan OKU disebabkan perkhidmatan AirAsia yang tidak mesra OKU sebelum ini, dalam masa yang amat singkat beliau telah dapat menyelesaikannya dengan baik, malah meningkatkan perkhidmatan AirAsia walaupun memakan belanja yang amat besar. Memang syarikat yang mampu tidak ada masalah dari segi kewangan, tetapi Dato’Tony Fernandes melaksanakannya dengan berhemat di mana segala pandangan OKU diambil berat dan dihormati. Syabas AirAsia!

Dari segi bantuan kepada OKU pula, usaha yang dilakukan ialah untuk memastikan mereka dapat berdikari dengan sebolehnya. Bantuan-bantuan tersebut boleh dibahagikan kepada bantuan pelajaran, bantuan pekerjaan, bantuan saraan, dan bantuan rawatan. Namun, pelaksaan setiap bantuan tersebut haruslah memastikan bahawa OKU yang disasar tidak mempunyai masalah untuk ke pusat bantuan berkenaan. Contohnya, OKU diberi diskaun istimewa untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi, namun disebabkan masalah pengangkutan awam, OKU yang berminat tidak dapat ke sana. Jadi pelaksanaannya gagal dan mungkin alasan yang dilaporkan ialah tidak mendapat sambuan daripada OKU.

Jika diselidik, kenderaan awam yang amat diperlukan oleh OKU ialah kenderaan awam yang dapat menghantar mereka ‘dari pintu ke pintu’, iaitu perkhidmatan teksi. Malangnya teksi di negara kita bukanlah yang jenis mesra OKU. Walaupun terdapat segelintir pemandu teksi yang amat bermurah hati mengambil pelanggan yang berkerusi roda, namun berapa ramaikah antara mereka? Kadang-kadang masalah yang timbul bukan disebabkan nilai perikemanusiaan mereka, tetapi disebabkan jenis kereta teksi mereka yang tidak dapat mengambil penumpang yang berkerusi roda.

Kita telah lihat betapa hebatnya projek meningkat taraf perkhidmatan teksi di negara kita. Kereta-kereta mewah telah pun dijadikan teksi dengan hanya tambahan tambang yang tidak begitu tinggi, kononnya untuk kelesaan penumpang. Namun adakah jenis teksi yang boleh mengambil penumpang berkerusi roda? Sekiranya kita bandingkan antara pelaburan untuk membeli kereta mewah sebagai teksi eksekutif berbanding dengan kereta yang boleh dimasuki kerusi roda (wheelchair accessible taxi), yang mana memperlihatkan imej pengusaha yang lebih perihatin? Keperihatinan sesebuah negara terhadap pelaksanaan kebajikan rakyatnya juga menjadi kayu pengukur tahap tamadun dan kematangannya dalam isu kebajikan rakyat.

Masalah pemandu teksi untuk mengambil penumpang yang berkerusi roda dapat kita lihat di sebelah kanan laman web ini, atau di YouTube, 
http://www.youtube.com/watch?v=x09ohimNZV0 (video yang dipaparkan hanyalah sebagai lakonan). Berikut adalah penerangan terhadap masalah-masalah tersebut:
  1. Sikap pemandu teksi yang merasakan penumpang kerusi roda amat leceh dan melambatkan. Mungkin kebanyakan pemandu teksi mengejaar masa kerana bagi mereka makin cepat tindakan mereka maka makin ramailah penumbang yang dapat diangkut pada hari tersebut.
  2. Sikap pemandu yang merasakan penumpang kerusi roda amat merumitkan. OKU kerusi roda memang memerlukan orang lain untuk memasukkan kerusi roda mereka di bonet kereta selepas mereka memasuki kereta. Namun, pemandu teksi merasakan penumpang tersebut hanya mendatangkan masalah kepada mereka.
  3. Ruang bonet kereta yang terhad disebabkan balang gas. Kita sedia maklum bahawa kereta teksi di sekitar Lembah Klang kebanyakannya menggunakan kuasa NGV. Maka disebabkan balang gas NGV yang mengambil sebahagian ruang bonet, tiada ruang untuk memasukkan kerusi roda.

Usaha menjadikan negara kita berimej sebuah negara perihatin dan penyayang haruslah dipertingkatkan. Jangan usaha-usaha tersebut hanyalah untuk mendapat publisiti atau kepentingan peribadi. Pihak pengusaha juga perlulah melihat bahawa perkhidmatan kenderaan awam mereka sebagai satu tanggungjawab sosial, bukan hanya menitikberatkan keuntungan semata-mata. Ahli masyarakat pula perlulah memahami keperluan OKU untuk keluar bermasyarakat. Jangan salah guna kemudahan yang disediakan khas untuk mereka sebagai kemudahan diri sendiri, contohnya tempat letak kereta untuk OKU, tandas, dan lain-lain.

Setiap kali apabila terlihat OKU berkerusi roda dalam kegiatan di tempat-tempat awam, saya terlihat betapa cabaran mereka dalam menempuhi hidup ini berbanding kita yang bebas bergerak. Apabila terlihat prasarana pembangunan di sesuatu tempat yang bersifat mesra OKU, terlintas di fikiran ini betapa bagusnya jika kita semua sama-sama dapat menikmati limpahan pembangunan negara yang tercinta ini, semoga Malaysiaku Mesra OKU.


 
Ulasan SuaraOKU:

SuaraOku ambil artikel dan  semua video di atas daripada blog Malaysiaku Mesra OKU. Tidak syak lagi inilah masalah yang berlaku di Malaysia. Pengangkutan Awam untuk OKU memang masih belum cukup sempurna. Tidak seperti di England dan Jerman kita sudah jauh ketinggalan dalam aspek prihatin terhadap OKU dan kemudahan asas berkenaan OKU.

Perhatian daripada pihak kerajaan amat-amat benar diperlukan.Tak kira apa pun pegangan politik mereka.Apa yang diharapkan agar kemudahan-kemudahan  untuk OKU diperbanyakkan. Jika itu mungkin mengambil masa, tidak mengapa. Kita akan terus menunggu dan berusaha ke arah itu.

Tapi mohon perhatian untuk kita lebih prihatin. 

Sabarlah menunggu untuk orang OKU.
Sabarlah dalam membantu OKU.
Sabarlah dalam melayan kerenah OKU.

Kerana mereka juga manusia seperti kita dan berhak hidup dengan sempurna dan dalam keadaan yang baik.

Ingat, setiap manusia tanpa mengira darjat dan harta akan sama di sisi Tuhan.
Dan perlu diingatkan, setiap manusia berpeluang menjadi OKU jika ditakdirkan.
Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita.
Adakah masa itu, anda baru prihatin tentang OKU kerana anda sudah berada di dalam golongan mereka?
Fikir-fikirkanlah.

"OKU tetap bersuara"
 


Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog