Saturday, May 2, 2009

Angkat martabat OKU - Firdaus

Saturday, May 2, 2009 |
Beliau hanya seorang insan yang bergelar orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran. Namun jauh di lubuk hatinya tersemat hasrat menggunung untuk membela dan mengangkat martabat golongan yang senasib dengannya supaya tidak terus terpinggir.
Impian murni itulah yang dipendam Mohd Firdaus Mohd Resid, 25, anak kelahiran Kampung Kuala Ramu, Maran, Pahang ini yang bahkan mahu meletakkan OKU pada satu masa diiktiraf setanding dengan orang normal seperti di negara-negara maju.
Bagi membuktikan betapa seriusnya cita-cita itu, Firdaus yang merupakan Presiden Persatuan Orang Pekak Pahang (PADA –- Pahang Deaf Association) dengan inisiatifnya sendiri telah mendapatkan sebuah bangunan yang disewa sebagai pusat komuniti bagi kemudahan dan aktiviti seramai 170 orang ahli PADA seluruh Pahang.

Di situ menjadi pusat ahli PADA berhimpun setiap hujung minggu. Kemudahan internet juga disediakan bagi membolehkan ahlinya berkomunikasi melalui konferen video dengan rakan-rakan dari seluruh dunia.
“Pada penilaian umum golongan OKU lazimnya dikaitkan dengan perlunya diberi bantuan atau sumbangan tanpa memikirkan bahawa entiti tersebut juga ada ketikanya mempunyai keistimewaan tersendiri”.
“Azam saya, OKU terutama ahli PADA, supaya dapat berdiri sama taraf dengan menghapuskan jurang komunikasi antara orang pekak dan orang normal supaya tidak rasa terpinggir”.

“Saya nampak objektif ini boleh dicapai melalui dua cara, iaitu dengan mempertingkatkan taraf sosial OKU dan yang kedua memasyarakatkan atau mempublisitikan bahasa isyarat,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan peralatan ibadah oleh Adun Semantan Syed Hamid Syed Mohamad di pusat komuniti PADA yang terletak di jalan Bahagia,Temerloh baru-baru ini.
Firdaus berkata, mempertingkatkan taraf sosial OKU dapat dicapai melalui perhatian daripada pihak berkuasa dan masyarakat dengan membekalkan prasarana asas bagi menggerakkan pelbagai aktiviti.

“Sebagai contoh, masalah yang dihadapi PADA ialah kekurangan dana untuk menampung kos menggaji kakitangan tetap di pusat komuniti ini, Pada masa ini kami dibantu oleh tiga orang jurubahasa dari Kolej Bahasa Isyarat Malaysia yang secara sukarela dan yang sedang menjalani praktikal. Kita sangat memerlukan kakitangan sepenuh masa, apabila ketiga-tiga pelajar berkenaan menamatkan latihan praktikal, persatuan akan menghadapi masalah kakitangan. Kita juga perlukan kenderaan dan peralatan bagi mengurus pentadbiran harian persatuan,” ujarnya.
Menurut Firdaus, peralatan dan perabot pejabat dibekalkan oleh Persatuan Orang Pekak Malaysia (MFD) selain memperoleh RM3,000 setahun dan JKM Negeri Pahang.

Sementara mempublisitikan bahasa isyarat orang pekak supaya difahami masyarakat bagi peningkatan ilmu, maklumat dan komunikasi.
Firdaus memberi contoh, dalam bidang pembelajaran agama OKU pekak sukar mendapatkan tenaga pengajar kerana tidak ramai di kalangan guru agama yang berkemahiran komunikasi dalam dalam bahasa isyarat.
“Inilah yang saya katakan perlunya bahasa isyarat diperluaskan pengajarannya supaya lebih ramai anggota masyarakat faham dan boleh berkomunikasi dengan kami”.
“Begitu juga dengan penyampaian maklumat. Sekarang ini hanya satu rangkaian televisyen yang menyiarkan berita dengan menggunakan bahasa isyarat. Sedangkan di negara-negara maju seperti Eropah dan Jepun sudah lama menyediakan penterjemah dalam bahasa isyarat yang lebih jelas daripada negara ini”.

Firdaus yang bertugas sebagai Pembantu Kebajikan Masyarakat (bahagian OKU) di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh hilang deria pendengaran selepas mengalami demam panas ketika berusia sembilan tahun dan merupakan penerima Anugerah Projek Pelajar 2007 ketika menuntut di Politeknik Ungku Omar, Ipoh sempena Majlis Konvokesyen Ke-37 PUO.
Beliau hanya boleh berkomunikasi melalui bantuan bahasa isyarat oleh pembantunya.
Anak yatim yang kehilangan bapa ketika berusia 12 tahun ini adalah anak kelima daripada enam adik-beradik itu, belajar sekelas dengan pelajar normal dan menerima anugerah kecemerlangan pembentangan projek E-Halal oleh Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) untuk kerja kursus projek akhir Diploma Teknologi Maklumat (DIT) sesi Januari 2007.
Sebaik keluar sahaja daripada pusat pengajian, Firdaus terus dilantik sebagai Presiden PADA.

PADA ditubuhkan pada tahun 2005 dengan berpaksikan 9 matlamat iaitu untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan orang pekak, kedua menyatukan mereka dan berusaha mencapai kemajuan sosio ekonomi dan pembangunan diri. Ketiga memelihara hak dan kepentingan orang pekak dalam negara ini supaya setara dengan warga normal.

Keempat, memupuk dan memperkembangkan komunikasi dan pemahaman (bahasa isyarat) yang berkesan dikalangan orang pekak dan orang normal. Kelima menganjurkan aktiviti sukan dan rekreasi untuk mesyarakat orang pekak dan keenam memberi khidmat nasihat dalam soal pekerjaan kekeluargaan dan hubungan sosial di samping menjaga kebajikan mereka.
Ketujuh, mendorong dan menggalakkan integrasi orang pekak ke dalam masyarakat normal melalui usaha ke arah pemahanam diantara orang pekak dan normal. Kelapan memiliki harta benda serta menggaji kekitangan tetap bagi mengendali kerja-kerja pentadbiran harian persatuan dan kesembilan menerima sumbangan dan peruntukan serta derma sama ada dalam bentuk wang ataupun lain-lain untuk aktiviti dan kebajikan ahlinya.
Sementara itu menurut Firdaus, statistik terbaru JKM menunjukkan terdapat 132, 655 OKU yang berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah itu, terdapat 22,728 yang cacat pendengaran.


Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog