Sunday, June 7, 2009

AKTA OKU menjamin kualiti hidup OKU?

Sunday, June 7, 2009 |



SUATU forum membincangkan Akta Orang Kurang Upaya 2008: Apa Seterusnya? telah diadakan di auditorium Majlis Peguam pada 17 Januari 2009. forum tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Dr. Ng Yen Yen. Walau bagaimanapun beliau telah tidak dapat hadir dan menghantar wakilnya.


Dalam ucapan alu-aluan, presiden Majlis Peguam Malaysia telah menggesa kerajaan untuk lebih proaktif dalam memastikan komitmen yang jitu bagi membangunkan OKU di negara ini.

Dalam sesi pertama yang dipengerusikan oleh Hon Kai Ping, perbincangan tentang Akta Tersebut secara pandangan seimbas lalu telah dimulakan. Helen L. M. Chin selaku pengerusi penganjuran telah menyentuh serba sedikit sejarah panjang ke arah pewartaan Akta Tersebut. Dalam pembentangannya, beliau antara lain menyentuh akan beberapa peruntukan yang boleh dikatakan bercanggah sama sendiri dalam Akta Tersebut.

Seksyen 41 Akta Tersebut misalnya telah memperuntukkan suatu perlindungan kepada kerajaan dan badan-badan di bawahnya dari tindakan undang-undang. Dalam masa yang sama Seksyen 42 pula menyebut akan pemakaian Akta Perlidungan Pihak-Pihak Berkuasa Awam 1948 yang lebih dikenali sebagai PAPA. PAPA adalah suatu undang-undang yang menggalurkan peruntukkan undang-undang bilamana pihak berkuasa awam berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh mana-mana pihak.

Kedua-dua peruntukan ini menimbulkan kekeliruan yang amat nyata. Dalam masa yang sama kerajaan boleh dilindungi dari tindakan undang-undang dan juga boleh tertakluk kepada tindakan undang-undang.


Helen seterusnya membincangkan Seksyen 28 Akta Tersebut yang memperuntukkan hak kepada pendidikan kepada OKU sejak kanak-kanak hingga ke peringkat tinggi termasuklah pendidikan sepanjang hayat. Beliau merujuk suatu peraturan yang digubal di bawah Akta Pendidikan 1996 yang dikhususkan kepada sistem pendidikan khas. Apa yang menghairankan, peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 tersebut memperkenalkan suatu konsep "educable" iaitu keupayaan menerima pendidikan dan "uneducable" iaitu ketidakupayaan menerima pendidikan. Hanya kanak-kanak yang terjatuh di bawah "educable" sahaja yang akan mendapat pendidikan khas. Justeru apakah maknanya peruntukan seksyen 28 Akta OKU 2008 yang memberihak pendidikan kepada semua OKU sejak kanak-kanak? Percanggahan ini merupakan suatu yang jelas dan sehingga kini tiada suatu keselarasan dibuat.


Panel kedua iaitu Bathmavathi Krishnan yang merupakan setiausaha Malaysian Confederation for The Disabled melebarkan lagi kepincangan-kepincangan yang terdapat dalam Akta OKU 2008. antara yang disentuh beliau termasuklah penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Orang-orang Kurang Upaya di bawah seksyen 3. selain 9 orang ahli Majlis yang ditetapkan di bawah perenggan (2), subperenggan (j) turut menetapkan 10 orang perlu dilantik dari mereka yang faham perihal OKU. 10 orang ahli lantikan di bawah perenggan (j) tersebut tidak pula secara nyata menyebut sama ada mereka yang dilantik itu merupakan OKU atau sebaliknya. Ketidaktentuan tentang perlantikan 10 ahli majlis itu menggusarkan kerana tiada suatu ketetapan khusus yang diperuntukkan bagi memastikan perlantikan 10 orang tersebut benar-benar berupaya membawa perubahan dan membangunkan nasib OKU.


Majlis di bawah Akta OKU 2008 ini merupakan suatu antiti yang amat penting kerana ia berupaya membuat peraturan bagi kepentingan OKU dan membuat kawal selia terhadap undang-undang yang sedia ada bagi kepentingan OKU.

Keupayaan majlis ini amatlah diharapkan bagi memastikan kepentingan OKU dalam negara benar-benar tyerpelihara.


Panel ketiga, Mohammad Faizal Che Yusof yang merupakan seorang peguam OKU penglihatan lebih menyentuh dari aspek pelaksanaan Akta OKU 2008. sebagai contohnya dalam aspek pendidikan, beliau membangkitkan akan pelbagai unit dan jabatan yang terlibat dalam membangunkan pendidikan khas seolah-olah berasingan dari sudut perlaksanaan dengan sistem pendidikan khas yang ingin dibina di bawah Akta Pendidikan 1996. beliau membangkitkan ada antara guru-guru pendidikan khas sama ada di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Khas atau langsung di bawah Kementerian Pelajaran yang tidak memahami sistem pendidikan khas yang didokong. Amat menghairankan bilamana ada guru-guru yang mengajar murid OKU penglihatan yang tidak berupaya membaca tulisan braille. Malah ada antara guru-guru ini bergantung kepada pelajarnya untuk membaca tulisan braille.


Mohammad Faizal turut menyarankan agar suatu pusat serenti diwujudkan bagi membantu ke arah perlaksanaan seksyen 29 iaitu hak pekerjaan kepada OKU. Pusat sereti tersebut amat diperlukan bagi menyokong OKU yang memulakan kerjaya bagi membantu OKU terbabit memberi perkhidmatan terbaik meskipun dalam keupayaan terbatasnya.

Pada kesempatan tersebut, beliau turut mencadangkan agar suatu syarikat berkaitan kerajaan diwujudkan bagi menyediakan suatu sistem pemilikan perumahan yang mampu dimiliki oleh OKU. Pada masa kini OKU dihalang memiliki kediaman sendiri bilamana berhadapan dengan kesulitan memperolehi pinjaman rumah dan karenah politik bilamana cuba mendapatkan peruntukan rumah-rumah yang disediakan kerajaan.


Dalam sesi kedua, panel pertamanya iaitu Ravi Nekoo mengkhususkan hak-hak yang wajar diberi kepada OKU bila berhadapan dengan proses pendakwaan atau seumpamanya. Beliau membangkitkan akan tiadanya prasarana bagi membantu OKU dalam sistem keadilan jenayah seperti juru bahasa yang sesuai kepada OKU pendengaran di mahkamah-mahkamah dan tiadanya mereka yang pakar di balai-balai polis yang berupaya menangani OKU mental yang terlibat dengan kes-kes jenayah. Keadaan ini hanya akan mendatangkan kesulitan kepada OKU yang terlibat seterusnya mewujudkan ketidakadilan kepada mereka.


Rata-rata panel foruim bersetuju bahawa Akta OKU 2008 hanyalah suatu dokumen yang lebih bersifat kosmetik dan amat diragui akan keupayaannya membela golongan OKU secara berkesan. Meskipun begitu, mereka turut bersetuju Akta Tersebut suatu langkah permulaan yang perlu dituruti dengan komitmen yang sepenuh dan sewajarnya oleh semua pihak terutamanya kerajaan.

Dalam sesi soal jawab, hampir kesemua peserta yang berpeluang menyampaikan pandangan menyatakan akan kekecewaan mereka terhadap pembelaan kepada OKU meskipun Akta OKU 2008 telah diwartakan.


Bagi Mohammad Faizal, OKU hanya terbela bilamana golongan itu dapat dikaitkan dengan kepentingan politik parti yang memerintah. Tanpa dorongan politik, nasib OKU dalam negara ini disifatkan kabur dan tidak menentu. Pandangan beliau tersebut dikaitkan bilamana pembentangan Akta OKU 2008 dibuat secara tergesa-gesa tanpa suatu tinjauan yang meluas dari mereka yang sewajarnya. Ini ditambah pula kelulusan di Dewan Rakyat tanpa dibahaskan dan hanya dibahaskan oleh seorang senator dewan di peringkat Dewan Negara. Ini menunjukkan nasib OKU dalam negara bukanlah menjadi isu utama oleh kebanyakan ahli politik lantas pelbagai kepincangan diserlahkan dalam akta yang diwartakan pada 7 Julai 2008 yang lalu.


Harus disedari bahawa bilangan OKU akan meningkat dari semasa atas pelbagai faktor dan antarabangsa mengiktiraf bahawa Kurang Upaya adalah suatu konsep yang sentiasa berkembang sekaligus meruntun suatu perancangan yang rapi. 22 Muharam 1430H.


Sumber : Buletin Prihatin



Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog