Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau tidak berpuas hati kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih lewat menjelaskan pembayaran yang sepatutnya mereka terima.
Sehubungan itu, beliau menggesa pegawai berkenaan supaya memudahkan lagi permohonan OKU di negeri ini untuk mendapatkan bantuan kerajaan.
"Saya tidak puas hati kerana banyak kelewatan dilakukan JKM. Kalau dah nampak OKU lumpuh, tunggu apa lagi terus bagi bantuan.
"Tak perlu tunggu sampai sebulan dua, hari ini kita lawat esok dah patut boleh bagi bantuan. Tak ada duit, beritahu kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan pagi kerajaan negeri anjuran Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PSPM) di Seri Negeri di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Ali, beliau kecewa dengan cara JKM yang mengambil masa lama untuk menghulurkan bantuan kepada OKU.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada kira-kira 500 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir kilat di tiga daerah pada 27 Julai lalu.
Katanya, tiga daerah terlibat adalah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
Menurut beliau, kejadian banjir kilat yang berlaku itu tidak dapat dielakkan kerana penerimaan kadar hujan luar biasa dalam tempoh empat jam.
"Dalam tempoh itu, jumlah hujan dicatatkan adalah sebanyak 115 milimeter (mm) berbanding 100 mm dalam tempoh sebulan.
"Keadaan diburukkan lagi apabila paras air laut pasang penuh setinggi 2.1 meter berbanding paras sungai 1.1 meter pada hari kejadian," katanya.
-Utusan
0 comments:
Post a Comment