Tuesday, August 11, 2009

Peniaga pasar tani terkejut anak terima Anugerah Pelajaran Diraja

Tuesday, August 11, 2009 |

Ahmad Tarmizi Mahmud dan Nurul Khairunissa Esman (dua dari kanan) menunjukkan pingat emas yang diterima, manakala Husniyah Salaeh (kiri) dan Zarina Hamzah menerima Anugerah Canselor pada Konvokesyen USIM di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 2 Ogos - Dua peniaga pasar tani dari Kluang, Johor, terkejut apabila anak mereka, Nurul Khairunissa Esman, 23, diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini semalam.

Md. Sahad Ahmad, 58, dan isterinya, Suriah Abas, 42, sebelum ini tidak diberitahu oleh anaknya mengenai penerimaan anugerah itu.

''Nurul cuma menjemput kami untuk menghadiri majlis konvokesyen di Putrajaya dan tidak memberitahu bahawa dia akan menerima anugerah.

''Saya dan isteri terkejut apabila Nurul diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja, kami amat gembira dengan kejayaan itu,'' kata Md. Sahad ketika ditemui selepas menghadiri majlis Konvokesyen USIM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Nurul Khairunissa berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan purata nilai gred kumulatif (PGNK) 3.95 dan memasuki Senarai Dekan pada setiap semester.

Dia sengaja merahsiakan kejayaan itu daripada ibu bapanya kerana mahu merancang satu kejutan untuk mereka.

Menurutnya, penerimaan Anugerah Pelajaran Diraja amat bermakna kerana dia berjaya menyempurnakan pesanan terakhir arwah ayah kandungnya.

''Anugerah ini amat bermakna kepada saya kerana antara pesanan terakhir arwah ayah ialah dia mahu saya belajar sehingga ke peringkat tertinggi yang mampu.

''Ayah meninggal dunia semasa saya belajar dalam darjah tiga,'' katanya.

Nurul Khairunissa memberitahu, dia akan mencari kerja dan menimba pengalaman sebelum meneruskan pelajaran pada tahap yang lebih tinggi.

''Saya ingin memberi laluan kepada adik-adik lain yang juga mahu melanjutkan pengajian ke peringkat universiti,'' katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi Mahmud dari Dungun, Terengganu, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa juga dipilih sebagai pemegang Anugerah Pelajaran Diraja USIM.

Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU), Muhamad Al Hafis Zakaria yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Komunikasi juga berjaya mencuri tumpuan apabila kekurangan fizikal tidak menghalangnya untuk menerima ijazah.

''Saya sebelum ini telah menjalani latihan praktikal di stesen televisyen tempatan dan bercita-cita untuk bekerja dalam bidang penyiaran,'' katanya.

-Utusan



Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog