Friday, October 23, 2009

Kasih Ibu Tiada Tandingan

Friday, October 23, 2009 |
ps_01.1

ITULAH kuasa naluri seorang ibu. Tak kira apa kata orang, hanya seorang ibu yang mengetahui diri dan isi hati anak-anak mereka. Dari jauh di hujung telefon, seorang ibu mampu meneka sama ada anak di hujung talian sihat, sakit atau kemurungan.

Apatah lagi dengan anak di hadapan mata yang dibelai dan dijaga setiap masa. Mary Chen Wong Mei Lee, 48, begitu pasti dengan bisikan hati kecilnya yang mengagak ada sesuatu yang tidak kena dengan anak keduanya, William Chen Wei Lun yang ketika itu berusia kira-kira setahun.

Malah, dia bertambah yakin apabila anak sulungnya, Alex Chen Wei Jie tidak pernah menunjukkan tanda-tanda pelik sebegitu.

Sebaliknya, Mary Chen mendapati William tidak mampu menelan makanan yang disuap.

“Dia sukar menelan makanan. Lantaran itu, saya terpaksa mengisar bubur dan susu yang disediakan supaya William mudah menghadam,” jelasnya yang hampir termakan pujukan yang diberi oleh rakan-rakan yang pernah menimang cahaya mata.

Mereka mengutarakan beberapa insiden yang mana si kecil mengambil masa yang lambat untuk bercakap, berjalan dan seumpamanya. Pernah sekali, suami Mary Chen menegur sikapnya yang terlalu asyik mencari kekurangan pada anak bongsu mereka.

Tambahan pula, para doktor ketika itu tidak risau dengan tahap kesihatan William yang dilaporkan sihat dan bebas daripada penyakit berbahaya. Sehinggalah seorang doktor berjaya mengesan dan mengesahkan istilah Mongoloid dalam rekod peribadi anaknya.

Mongoloid adalah terminologi terawal merujuk kepada masalah sindrom Williams. Dalam erti kata yang mudah difahami, ia berkaitan dengan kerencatan tumbesaran di bahagian kromosom.
MARY CHEN mahu melatih dan melahirkan penulis, jurugambar, pereka grafik dan penyunting dalam kalangan OKU untuk majalah Challenges.

Walaupun selama ini, Mary Chen merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada William, tetapi saat mendengar khabar itu, dia sedar bahawa dia belum bersedia untuk menerima berita tersebut.

“Cuma, saya berasa sedikit lega kerana ia membuktikan kemusykilan yang dirasai selama ini sedikit sebanyak ada benarnya dan bukan imaginasi,” jelasnya yang hanya dinasihati supaya mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada William.

Namun, perkara itu sahaja tidak menjamin kesejahteraan masa depan William, bisik hati Mary Chen yang kemudian bertindak mengemas kini pengetahuannya terhadap isu-isu berbangkit berkaitan penyakit itu.

Memandangkan dia bekerja atas tiket wartawan bebas di salah sebuah akhbar tempatan yang terkemuka, Mary Chen mampu menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Aspek fleksibiliti itu menyenangkan pergerakannya tanpa kekangan majikan.

Lagipun, dia dapat menumpukan perhatian ke atas William yang membesar dalam keadaan serba kekurangan. Bagi melancarkan proses interaksi, Mary Chen segera mendaftarkan anaknya di Pertubuhan Sindrom Down Kiwanis, Petaling Jaya. Dia juga membawa pulang anak-anak patung yang dipinjam dari perpustakaan untuk dijadikan sumber pembelajaran.

Cabaran

Sebaik sahaja tamat peringkat pembelajaran khas di sekolah rendah, William masuk ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Bandar Sunway, Petaling Jaya. Banyak cabaran yang diharungi seperti tidak ada bilik pembelajaran khas dan mod pengajaran yang kurang mantap.

“Berbanding dengan negara-negara maju, kita masih di belakang dalam menyediakan sistem pendidikan khas untuk orang kurang upaya (OKU) di sekolah-sekolah seluruh negara. Hanya sebilangan sekolah terpilih menyediakan kemudahan pembelajaran OKU. Tetapi kadangkala lokasinya jauh dan memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Perlu ada satu pengisian mendalam kerana masa yang paling sesuai untuk mempelajari sesuatu adalah di peringkat usia persekolahan. Sekiranya masa itu berlalu, penyerapan ilmu sudah tidak lagi berkesan,” jelas Mary Chen yang terlibat secara aktif dalam perbincangan membina antara golongan ibu bapa dan guru sekolah.

Dari situ, terbit satu idea bernas untuk menjana kewangan melalui aktiviti amal di bawah projek Mewujudkan Peluang Bagi Pembelajaran Kumpulan Tidak Upaya atau akronimnya, GOLD.

Dedikasi dan sifat tidak pentingkan diri, akhirnya membuahkan hasil apabila Mary Chen dan rakan-rakannya berjaya mengutip sejumlah dana untuk mendirikan sebuah bilik pembelajaran khas di sekolah berkenaan iaitu SMK Bandar Sunway.


SEJAK tiga tahun lalu, William (kiri) sudah boleh menyesuaikan diri dengan kumpulan OKU di sebuah rumah tumpangan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Kutipan

Dari tahun 2001 hingga 2006, sebanyak tiga aktiviti amal telah dianjurkan dan kesemua kutipan itu disalurkan bagi pembentukan dan pembangunan generasi muda OKU. Sebuah dapur lengkap dengan kemudahan OKU turut didirikan di sekolah yang sama.

Di samping mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), latihan pravokasional turut diselitkan agar anak-anak itu mampu berdikari sebaik keluar dari alam persekolahan. Lebih tepat lagi, latihan itu bebas dari pengawasan guru dan orang tua.

Dalam pada itu, Mary Chen mengeluh: “Ramai ibu bapa OKU berdoa supaya usia mereka dipanjangkan ekoran terlalu bimbang memikirkan apa yang akan menimpa terhadap anak-anak yang tidak bersedia untuk menjaga diri sendiri, jika mereka tiada kelak.”

Sementara itu, antara aktiviti pravokasional yang diperkenalkan adalah membuat lukisan seramik, memasak dan mengitar semula bahan buangan untuk dijadikan kad atau hiasan. Mary Chen juga tidak terlepas untuk aktif bergiat dan menunjukkan sokongan kepada William. Biasanya, dia akan meluangkan masa selepas waktu sekolah dan pada hujung minggu.

Hari ini, William yang boleh menjaga tata tertibnya di hadapan tetamu, hemah berjabat tangan sambil mengukir senyuman. Dia juga mahir memainkan beberapa alat muzik tanpa mengenali not bunyi.

Lebih membanggakan Mary Chen apabila sejak tiga tahun lalu, anaknya yang berusia 22 tahun itu sudah boleh menyesuaikan diri dengan sekumpulan 10 orang OKU di sebuah rumah tumpangan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Kumpulan itu dilatih mengemas rumah, menyapu lantai, membasuh kain dan memasak di bawah pengawasan seorang koordinator.

Sungguhpun tugas membentuk jati diri William tidak akan terhenti setakat itu sahaja, hati kecil Mary Chen seakan-akan ‘meraung’ untuk menyumbang kepada komuniti OKU dalam perspektif yang luas. Sebab itulah, penerbitan sebuah majalah OKU diilhamkan semasa satu perbincangan tidak formal diadakan pada Disember 2006.

Dua tahun berlalu tanpa sebarang perkembangan. Namun, tanggal 8 April 2008, majalah OKU yang dinamakan Challenges lahir dan kini menghiasi rak kedai buku Times, Kinokuniya dan Popular. Penerbitan pertama majalah itu secara kebetulan jatuh pada hari Malaysia meluluskan Akta Orang Kurang Upaya 2008.


SUNGGUHPUN dilahirkan serba kekurangan, William mahir bermain piano.
Kepuasan

Mary yang sebelum ini mengerah keringat menulis selama 12 tahun, tidak menyangka akan merasai satu kepuasan yang tidak terhingga melalui naskhah keramat itu. Dengan himpunan 80 helaian muka surat berwarna, ia kompak dengan kisah-kisah kehidupan dan kejayaan OKU dalam pelbagai bidang yang diceburi, permainan Soduku, kuiz Braille dan banyak lagi.

Baru setahun setengah, ia membuka satu lembaran baru dan utuh buat masyarakat OKU melafazkan luahan hatinya. “Saya menyimpan harapan besar agar menjelang tahun 2012, saya dapat melatih sekumpulan penulis, jurugambar, pereka grafik dan penyunting OKU yang bertauliah di atas platform Challenges,” ujar Mary Chen selaku Pengarang Challenges.

Jika hasrat itu termakbul, ia benar-benar menegakkan slogan ‘Ditulis oleh OKU untuk OKU’.

Buat masa sekarang, Challenges yang diterbitkan enam kali dalam setahun, menerima 300 langganan bulanan dari agensi kementerian, hospital, swasta, sekolah dan badan-badan bukan kerajaan. “Orang yang sempurna anggota badan pun boleh membelinya kerana ia bukan sebuah buletin. Sebaliknya, majalah ini mengandungi bahan-bahan ilmiah yang bersifat semasa,” ujar Mary Chen yang sentiasa mempelajari nilai-nilai murni daripada mereka.

Selain itu, salah seorang penulis majalah tersebut, James Chua Tuan Sek, 26, memenangi Anugerah Media Mercedes-Benz Malaysia Red Ribbon 2008. Tanpa kebolehan melihat atau mendengar, kekurangan itu tidak menghalang James untuk menonjolkan prestasi yang terbaik.

Dalam pada itu, Mary Chen yang memohon pengaliran masuk sumber kewangan melalui pembelian iklan dari pihak luar, merealisasikan satu lagi impiannya iaitu melancarkan majalah Challenges secara talian di laman sesawang www.challengesmag.com. Kosmo


Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog