MACHANG - Orang ramai yang mempunyai anak istimewa berumur antara lima hingga tujuh tahun dialu-alukan mendaftarkan anak masing-masing ke Pra Pendidikan Khas yang ditawarkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Hamzah Satu di sini. Guru Besar SK Hamzah Satu, Roseli Hasbullah berkata, ibu bapa seharusnya mengambil peluang yang disediakan dengan sebaik mungkin demi masa depan anak-anak yang tergolong sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) itu. Katanya, pada kelas tersebut anak-anak OKU akan diajar berdikari sesuai dengan keupayaan masing-masing serta memberi pendedahan kepada mereka hidup bermasyarakat seperti orang normal.
Tambahnya, ibu bapa juga harus membuang rasa malu dan rendah diri demi masa depan anak-anak tersebut serta pada masa yang sama memberi semangat dan dorongan kepada mereka. Roseli berkata, orang ramai yang berminat boleh datang ke sekolah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengambilan tersebut. “Kami telah mengumumkan pengambilan ini kepada orang ramai di sekitar Jajahan Machang. Hanya SK Hamzah Satu yang menyediakan kelas ini dan kami juga menyediakan kelas pendidikan khas kepada kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun.
“Memandangkan tahun ini merupakan tahun pertama ianya dijalankan, kami percaya masih ramai ibu bapa belum mendapat maklumat mengenainya,” katanya. Orang ramai yang berminat boleh datang ke sekolah segera bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang syarat-syarat kemasukan dan sebagainya. Kelas bermula jam 7.45 hingga 11.30 pagi dan buat masa sekarang kelas itu mempunyai lima pelajar dengan seorang guru, Asma Baiwati Danial dan seorang pembantu.
Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment