KUALA TERENGGANU: “Saya sudah letih berulang-alik ke pejabat kebajikan untuk memohon bantuan bulanan bagi anak saya yang menghidapi masalah pembelajaran serta dikelaskan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Ternyata, sia-sia apabila mereka mendakwa saya tidak layak menerimanya dengan alasan sudah bekerja dan mampu menyara Muhammad Firdaus Awang,7, yang menghidapi masalah pembelajaran sejak kecil,” kata Minah Mamat, 50, dari Kampung Padang Machang, Manir.
Menurutnya, dia mengakui menjalankan perniagaan kedai makan tetapi pendapatan yang diperoleh kini tidak seberapa berikutan kekurangan pelanggan, malah jarang beroperasi kerana sering sakit.
“Maklumlah, saya menghidapi kencing manis dan darah tinggi, saya tidak berupaya berniaga setiap hari kerana sering sakit.
“Jika berniaga, saya hanya mampu memperoleh RM50, itupun bergantung kepada pelanggan yang tidak menentu. Berikutan itu, saya tidak mampu menyediakan keperluan Muhammad Firdaus.
“Paling kurang, saya terpaksa menyediakan RM200 sebulan untuk lampin pakai buangnya serta keperluan lain,” katanya.
Minah berkata, penderitaannya semakin terasa apabila suaminya, Awang Sulong, 60, meninggal dunia kerana sakit tua lima tahun lalu.
“Sekiranya arwah masih hidup, saya yakin kehidupan kami tidak menderita seperti ini kerana dia bapa yang bertanggungjawab dan rajin.
“Kerana tidak berkemampuan saya terpaksa menggunakan air telaga untuk keperluan harian, jika tidak bernasib baik, air telaga juga tidak bersih dan terpaksa bergantung kepada air hujan,” katanya.
Minah berkata, pernah sekali rumahnya kehabisan beras menyebabkan dia dan dua anak perempuannya serta Muhammad Firdaus meraih simpati saudara untuk mengalas perut yang kosong. - Harian Metro
0 comments:
Post a Comment