Contoh yang paling ketara ialah penyalahgunaan tempat parkir kenderaan untuk OKU.
Pihak pengurusan hipermarket serta kawasan Rehat dan Rawat (R & R) memang menyediakan petak parkir bagi OKU. Bagi hipermarket, petak-petak ini sepatutnya memudahkan OKU untuk bergerak dari kenderaan yang membawa mereka ke pintu masuk hipermarket sebelum menuju ke bahagian jualan dan bagi kawasan R & R lebuh raya, ia memudahkan mereka yang kurang upaya bergerak menuju ke kedai makan atau tandas.
Walaupun diletakkan tanda serta gambar ‘orang di kerusi roda’ di petak parkir ini, masih ada kenderaan yang membawa penumpang ‘berupaya’ memakir kereta di situ.
SIKAP PENTINGKAN DIRI SENDIRI
Insiden pertama.
Di sebuah hipermarket di ibu kota, sebuah kereta yang membawa keluarga dengan begitu bersahaja memasuki petak parkir yang disediakan untuk OKU.
Bila penulis yang kebetulan berada di situ, menegurnya si pemandu kenderaan tadi dengan nada suara yang agak keras berkata: “Sekejap saja, lagi pun petak ini kosong…”.
Insiden kedua.
Baru-baru ini penulis, yang merupakan OKU, berhenti di kawasan R & R Ayer Keroh di Lebuhraya Utara-Selatan.
Ketika hendak menggunakan tandas OKU, beliau terpaksa menunggu beberapa minit dan agak terkejut bila orang yang keluar dari tandas itu merupakan orang yang ‘upaya’.
Bila penulis cuba menyatakan bahawa tandas itu sepatutnya digunakan oleh OKU, orang itu berkata: “saya punya suka lah!”.
“Sukar encik. Masih ramai yang pentingkan diri sendiri. Walaupun tertera dengan nyata kemudahan ini untuk OKU masih ramai yang tidak peduli,” kata seorang pekerja di R & R berkenaan tentang penyalahgunaan kemudahan mereka yang kurang upaya.
AKTA ORANG KURANG UPAYA
Di Malaysia, terdapat Akta Orang Kurang Upaya. Tetapi adakah akta ini cukup bagi menjaga hak mereka yang kurang upaya.
“Akta ini memang baik untuk OKU, tetapi ia tidak menyatakan penalti atau hukuman bagi mereka yang menyalah guna kemudahan OKU,” kata seorang peguam Nordin Shanmugam Abdullah.
Menurut beliau, selagi tiada peruntukan khas tentang penalti atau hukuman buat mereka yang menyalahguna kemudahan OKU, selagi itulah orang awam memandang ringan akta berkenaan.
“Bagi mereka (orang ramai), menggunakan peralatan atau kemudahan yang dikhaskan untuk OKU bukan satu kesalahan. Tambahan pula akta itu tidak menyatakan sama ada mereka yang melakukan perkara ini perlu dihukum atau sebagainya.
“Cuma, kelakuan menyalah guna kemudahan OKU salah dari segi moral, dan tidak lebih daripada itu kerana tiada penguatkuasaaan dan tiada denda,” katanya.
MASYARAKAT PRIHATIN DAN BERDISIPLIN
Menurut aktivis sosial Gurmukh Singh, Akta OKU tiada taring kerana tiada unit penguatkuasaan.
“Kalau buang sampah kena denda, hisap rokok di tempat awam kena denda, jadi salah guna kemudahan OKU pun patut kena denda juga.
“Selagi tiada unit pengawasan tentang penyalahgunaan yang dilakukan,selagi itulah masalah ini akan berterusan,” kata beliau.
Tentang kemudahan OKU di bangunan dan premis, menurut Gurmukh Singh, masih banyak lagi bangunan dan premis seperti kompleks membeli-belah dan bank yang gagal menyediakan kemudahan bagi OKU.
“Seolah-olah mereka tidak prihatin terhadap keperluan pengguna yang kurang upaya yang ingin berurusan di premis-premis itu. Tiada peruntukan dalam Akta OKU yang mewajibkan pihak pengurusan bangunan menyediakan kemudahan seperti lif atau laluan kerusi roda bagi mereka yang kurang upaya.
“Jadi mereka tidak melakukan kesalahan jika tidak menyediakan kemudahan seperti ini, kata beliau.
Gurmukh Singh menegaskan bahawa kerajaan telah berusaha memberi kemudahan terhadap OKU, jadi masyarakat hendaklah juga membantu usaha ini.
“Bukannya susah untuk menunjukkan sikap prihatin terhadap golongan yang kurang upaya,” katanya.
– BERNAMA
0 comments:
Post a Comment