Monday, September 20, 2010

Ibu tunggal tabah jaga anak OKU

Monday, September 20, 2010 |

Ibu tunggal tabah jaga anak OKU

KUANTAN 19 Sept. - Bukan mudah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal apatah lagi jika terpaksa memelihara anak yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Bagaimanapun Selina Jusoh, 49, tetap tabah dan berusaha memastikan kehidupannya dan lima anaknya termasuk seorang yang kurang upaya, Mohd. Shahrul Abdul Basik, 22, terurus selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lapan tahun lalu.

Menurutnya, dia yang mempunyai kemahiran menjahit baju sejak bergelar balu menjadikan kelebihan itu sebagai punca pendapatan bagi membesarkan anak-anak.

"Saya perlu kuat, tabah dan bersabar dengan ujian ini. Menjadi ibu tunggal dan mempunyai anak berstatus OKU bukan perkara mudah sekiranya tidak mempunyai kekuatan.

"Namun, saya bersyukur kerana hasil pendapatan daripada menjahit akan bertambah terutama menjelang hari raya dan saya sendiri tidak boleh membuat kerja lain kerana perlu menjaga Mohd. Shahrul yang tidak mampu menguruskan diri sendiri," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Sri Jaya Gading di sini, baru-baru ini.

Selina memberitahu, anaknya itu sering mengalami sawan selain tidak boleh menguruskan diri sendiri seperti makan dan mandi.

"Semuanya saya yang perlu uruskan kerana dia tidak boleh berjalan dan bercakap sebaliknya hanya mampu mengengsot.

"Setiap bulan saya akan memperuntukkan hampir RM150 untuk keperluan lampin pakai buang untuknya," katanya.

Bagaimanapun, beban kesusahan ibu tunggal itu diringankan apabila anaknya itu menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sejak dua bulan lalu.

Selina juga merupakan salah seorang daripada ketua isi rumah yang terpilih menerima sumbangan daripada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) melalui program Ziarah Ramadan.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pada program tersebut sebanyak 33 ketua isi rumah miskin tegar terpilih menerima sumbangan barang keperluan harian.

"Enam daripada mereka dipilih melalui senarai e-Kasih manakala 27 adalah daripada senarai Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada syarikat korporat yang sudi menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program ini," katanya.

 


Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog