Ramai orang di luar sana kata, orang buta ni, mata mereka buta, tetapi, hati mereka ni terang. Sedap sungguhlah didengar kata-kata gitu. memang ada benarnya apa yang dikata dan kadangkala tu, ada juga yang tak benarnya apa yang dikata tu.
Di dalam berpersatuan, oku penglihatan sendiri ada banyak persatuan. Ada 16 kesemuanya kalau tak salah perkiraan saya. Saya sendiri pun tak tau pasai apa yang banyak sangat persatuan.
Sebenarnya, seronok bila masuk persatuan. Almaklumlah, kita dapat membantu rakan-rakan yang senasib dengan kita. Bantu-membantu tu, bagus kan? Yang senang, membantu yang susah. Itu kan bagus?
Tapi kan, ada satu sikap yang pelik dalam golongan orang buta ni. Saya tak taulah mengapa sikap ini wujud. Adakah kerana mereka hanya bercampur dengan kelompok sendiri dan tidak bercampur-gaul dengan masyarakat sepenuhnya? Sikap ini wujud dalam berpersatuan, lagi-lagilah kalau mereka ada sesuatu jawatan hatta jawatan sekecil-kecilnya hinggalah ke jawatan utama, ada di antara mereka yang berasa amat tinggi diri.
Bila dah dapat sesuatu jawatan, mereka dah lupa asal-usul mereka. Mereka dah lupa siapa diri mereka. Semua mereka nak cantas saja.
Satu sikap orang buta yang paling tak elok ialah suka syak yang bukan-bukan. Contohnya ada kakitangan yang bertugas di satu-satu pertubuhan orang buta. Apabila ahli pertubuhan itu membuat panggilan telefon ke pertubuhan tersebut, kakitangan yang bertugas tidak menjawab panggilan mereka itu. ha, mulalah syak yang bukan-bukan. Kakitangan itu malas nak jawab panggilanlah, tak datang kerjalah, ponteng kerjalah, asyik leka bermain facebook lah dan pelbagai lagi sangkaan-sangkaan buruk yang terkeluar. Mereka tak siasat dah kenapa kakitangan yang bertugas ni, tak menjawab panggilan dari mereka ni.
Begitu jugalah kepada segelintir mereka yang memegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan. Cakapnya, lebih hebat daripada tugasan yang dibuat. Dan, apabila sesuatu tugasan itu tidak dapat dijalankan, mulalah nak mencari kesalahan orang lain untuk cover line. Dan yang paling sesuai untuk dijadikan mangsa ialah si kakitangan yang bertugas. Pelbagailah tuduhan yang dilemparkan untuk cover line mereka ni sebab tugasan yang diberi, tak dapat dijalankan. Dah kantoi.
Jadi, apabila ini berlaku, kepada mereka ahli-ahli yang faham kedudukan yang sebenarnya, mereka tahulah mana yang intan dan mana yang permata. Tetapi, kalau sebahagian lagi yang tak tau cerita di sebalik semua ini, maka akan berkokoklah mereka ke se-antero dunia menceritakan apa yang berlaku.
kepada mereka yang di luar sana, janganlah menganggap bahawa mereka yang buta mata ni, terang mata hatinya. Kekadang, ada yang buta mata dan juga buta mata hati. Untuk mendalami perangai-perangai orang buta yang kadangkala dirasakan amat-amat pelik bin ajaib ini, anda semua adalah digalakkan bercampur dan bergaul sendiri dengan orang-orang buta.
Kisah yang dipaparkan di atas merupakan sekelumit saja perangai-perangai orang buta di luar sana. Silalah bercampur-gaul dengan orang-orang buta untuk mendalami perangai-perangai yang pelik dan yang tak berkenan di hati yang terdapat pada orang buta.
0 comments:
Post a Comment