Saturday, February 11, 2012

Kandungan Surat Bantahan Rasmi SBM Terhadap Kempen 'Henti memberi, kami prihatin.

Saturday, February 11, 2012 |

Hj Mohammed Nazari Othman
9hb Februari 9.28 ptg

Salam semua,
Kandungan Surat Bantahan Rasmi SBM Terhadap Kempen 'Henti Memberi, Kami Prihatin' anjuran JKMWP pada 31 Januari 2012 yang lalu untuk tatapan rakan-rakanku sekalian. Surat ini telah dikemukakan kepada yang berkenaan dan dilampirkan keratan akhbar daripada Sinar Harian, Akhbar Metro, Utusan Malaysia, The NewsHub serta Kenyataan Akhbar JKM berhubung perkara ini
Salam kasih sayang,
Hj Mohammed Nazari OthmanP
Presiden SBM
Pengarah
Jabatan Kebajikan Masyarakat
Wilayah Persekutuan
Tingkat 9, Grand Seasons Avenue
No 72, Jalan Pahang
50564 KUALA LUMPUR
Tuan,
KEMPEN HENTI MEMBERI, KAMI PRIHATIN
Pada 31 Januari (Selasa) yang lepas, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Wilayah Persekutuan (JKMWPKL) telah mengadakan kempen Henti Memberi, Kami Prihatin yang bertujuan untuk mendidik masyarakat agar tidak memberi pemberian wang kepada golongan pengemis. Kempen tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Raja Nong Chik bin Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di KL Sentral.
Kempen ini juga merupakan salah satu inisiatif plan transformasi Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) JKMWPKL bagi menangani isu pengemis dan mensasarkan penurunan 30% indeks pengemisan di KL. Mengikut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh JKMWPKL, kempen ini diusahakan bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada warga KL mengenai aktiviti mengemis yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Orang-orang Papa 1977.
Golongan manakah yang dikategorikan sebagai pengemis di bawah Akta ini? Adakah perkara ini diterangkan kepada umum semasa pelancaran kempen Henti Memberi, Kami Prihatin oleh pegawai penguasa JKMWPKL?
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia atau Society of the Blind in Malaysia (SBM) merasa kesal dan dukacita dengan isi (substance) kempen ini. Golongan OKU penglihatan sering disalahtafsirkan sebagai sebahagian daripada golongan pengemis kesan dari pemahaman dan perlaksanaan Akta Orang-orang Papa 1977 oleh pegawai penguatkuasa JKM. Laporan-laporan akhbar yang disiarkan rentetan dari kempen ini juga menggambarkan polemik ini. Misalnya, akhbar Sinar Harian telah memberikan gambaran bahawa penjualan tisu dan barangan oleh OKU penglihatan merupakan sebagai sebahagian dari aktiviti pengemisan (Sinar Harian, 30 Januari 2012).
Melihat kepada keseluruhan isi utama kempen ini, Akta Orang-orang Papa 1977 dijadikan sempadan dalam perlaksanaan kempen ini. Walau bagaimanapun, slogan poster kempen memuatkan slogan-slogan seperti gejala ‘memperdagangkan orang’, ‘pelacuran’, ‘gelangdangan’. Di mana relevannya gejala-gelaja ini dengan konteks keseluruhan Akta Orang-orang Papa 1977?
Sejak sekian lama, OKU penglihatan yang menjalankan aktiviti penjualan tisu dan berniaga secara bergerak sering ‘diselamatkan’ di bawah kelemahan pemahaman dan perlaksanaan Akta Orang-oarang Papa 1977 oleh pegawai penguatkuasa JKM. Lebih mendukacitakan, ia turut dikaitkan dengan telahan tumpul (blantant assumption) bahawa aktiviti-aktiviti seperti ini didalangi oleh sindiket. Pihak NGO yang berkhidmat untuk kesejahteraan golongan OKU memandang berat telahan seperti ini. Telahan ini bukan juga perkara baru di kalangan pegawai penguatkuasa JKMWPKL. Berpegang kepada telahan tumpul dan tanpa mengambil jalan penyelesaian yang bersepadu bagi membuktikan kesahihan telahan ini oleh agensi kerajaan yang terlibat, amat membimbangkan! Sampai bila agensi-agensi kerajaan perlu berpandukan kepada telahan tumpul dan tidak berasas dalam perlaksanaan program dan polisi-polisinya?
Sebagai sebuah NGO yang berkhidmat untuk komuniti OKU penglihatan, SBM memandang serius ‘gejala penyelamatan’ yang longgar dan demi memperjuangkan kepentingan OKU penglihatan, SBM telah memulakan usaha rundingan dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat berhubung isu-isu seumpama ini.
Dengan penuh komitmen dan konsistensi, SBM membuat tindakan susulan yang tegas meminta kesemua pihak yang terbabit untuk berbincang pada Jun 2011. Satu memorandum berkaitan juga telah dihantar secara peribadi kepada YB Senator Sharizat sewaktu Majlis Dialog Bersama NGO di MAB pada 11 Ogos 2011. Memorandum tersebut mengandungi Kertas Kerja Cadangan Garis Panduan Penjaja Bebas Di Kalangan OKU dan Cadangan Pindaan Akta Orang-orang Papa 1977. Kami menyambut baik kesungguhan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) pada ketika itu yang memandang berat isi kandungan memorandum tersebut.
Hasilnya, pihak KPWKM telah memanggil satu mesyuarat bersama NGO-NGO yang berkhidmat untuk golongan OKU dan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti JKMWPKL sendiri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan lain-lain pada 23 Ogos 2011, bertempat di pejabat KPWKM yang terletak di Jalan Dato ‘Onn, Kuala Lumpur.
Kehadiran bagi mesyuarat pertama tersebut amat memberangsakan dan SBM sangat menghormati kesungguhan agensi-agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri yang memberikan komitmen awal bagi membanteras gejala ini dan serius bagi mencari mekanisma pencengahan yang lebih efektif dan bersepadu.
Kandungan Memorandum yang diserahkan tidak dibuat secara sendirian oleh SBM. SBM telah berpakat dan bekerjasama dengan NGO-NGO yang berkhidmat untuk komuniti OKU penglihatan yang lain dalam menghasilkan memorandum tersebut. Antaranya adalah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (National Council for the Blind Malaysia - NCBM), Pertubuhan Bagi Orang Buta Malaysia - Malaysian Association for the Blind (MAB), Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (Society for the Advancement of the Blind - PPOB), Persatuan Kebajikan Bekerja Sendiri Orang Kurang Upaya Penglihatan Kuala Lumpur (PKB).
Hasil dari perbincangan tersebut telah diedarkan kepada semua yang terlibat dan ia tidak sepatutnya dilihat sebagai keputusan. Pihak SBM dan NGO yang berkhidmat untuk gologan OKU penglihatan turut menghantar panambah-baikan kepada catatan hasil mesyuarat yang dikelurkan oleh pihak KPWKM susulan dari mesyuarat tersebut (rujukan dokumen: Cadangan Pindaan Garis Panduan Penjaja Bebas Di Kalngan OKU dan Pindaan Akta Orang-orang Papa 1977). Ini menunjukkan bahawa SBM serius dan menyedari betapa longgar dan lemahnya pemahaman dan penguatkuasaan Akta Orang-orang Papa 1977 ini oleh pegawai penguatkuasa dan berpandangan ia tidak sepatutnya hanya melibatkan pihak KPWKM dan JKM sahaja.
Pengerusi mesyuarat tersebut, iaitu En. Harjeet Singh, TKSU (S) KPWKM juga mengumumkan bahawa mesyuarat pusingan pertama ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Ia akan disusuli dengan mesyuarat dan pertemuan-pertemuan selanjutnya bagi menghasilkan satu garis panduan dan cadangan pindaan Akta Orang-orang Papa 1977 yang lebih lengkap.
Malangnya, belum pun kumpulan yang terbabit dalam pertemuan pertama dahulu bersidang untuk kesekian kalinya, JKMWPKL telah tidak semena-mena melancarkan kempen Henti Memberi, Kami Prihatin pada 31 Januari yang lepas.
Membanteras aktiviti pengemisan memerlukan satu mekanisma penguatkuasan yang mantap, efektif dan bersepadu. Dan, oleh kerana ianya berkaitan rapat dengan Akta Orang-orang Papa 1977, JKMWPKL sepatutnya memberikan komitmen yang tidak berbelah-bahagi kepada usaha yang telah dimulakan ini. Jika JKMWPKL, mengambil tindakan sebelum keputusan akhir disepakaiti oleh semua pihak yang hadir, SBM melihat usaha ini adalah sia-sia dan JKMWPKL tidak serius dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Apakah JKMWPKL dengan sengaja mahu menghentikan usaha perbicangan bersepadu yang telah dimulakan?
Sehubungan itu, Pertubuhnn ini mengemukakan bantahan rasmi di atas kempen ini dan menolak sepenuhnya kempen ini yang melibatkan OKU penglihatan.
Sekian, terima kasih.
'BERSATU MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG'
'1Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan'
Yang benar,
HJ. MOHAMMED NAZARI HJ. OTHMAN
Presiden
s.k.: 1) YB Senator Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil
Menteri KPWKM
2) YB Senator Daro' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Menteri KWPKB
3) Encik Harjeet Singh a/l Hardeev Singh
TKSU (Strtegik) KPWKM



Related Posts



0 comments:

Post a Comment

Statistik

Perhatian kepada pengunjung blog Suara Oku..

Blog ini adalah bertujuan untuk memberi informasi terkini dan memperjuangkan nasib Orang Kelainan Upaya(OKU) di Malaysia.

Justeru itu pihak blog memohon jasa baik pengunjung untuk menyumbang sebarang informasi berkenaan kempen,artikel dan apa sahaja yang melibatkan OKU.
Pihak blog juga ingin mengajak rakan-rakan di luar yang berminat untuk menulis mengenai OKU untuk menyertai kami terutamanya daripada golongan OKU sendiri.
Pihak blog juga amat menghargai sekiranya rakan-rakan membuat pautan blog ini di blog anda.

Sebarang pertanyaan dan cadangan silalah email pada :
suaraoku@gmail.com.
-Terima Kasih-

"Bukan Wang Yang Ku Pinta, Cuma Secebis Perhatian "

OKU'S Supporter Blogger

OKU'S Supporter Blogger

Pandangan Anda


ShoutMix chat widget

Followers

 
Copyright © Suara OKU | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog